Monday, May 9, 2011

Turki dibelenggu Keganasan ke Atas Wanita


DIA bukan selebriti ataupun ahli politik terkenal tetapi, setiap pergerakan Nahide Opuz sentiasa dikawal pengawal pengiring. Ini bagi memastikan wanita berusia 39 tahun itu dilindungi daripada serangan bekas suaminya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu merupakan wanita Turki pertama mempunyai pengawal peribadi yang dibayar oleh pihak kerajaan. Ia dilakukan selepas Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah mengutuk kerajaan Turki kerana gagal mempertahankan keselamatan Opuz malah, ibunya terbunuh akibat serangan tersebut.

KES Opuz telah meraih perhatian wanita Turki yang bangkit mengadakan demonstrasi jalanan

Sebelum kes terbesar itu dibicarakan di hadapan hakim di Strasbourg, Perancis, Opuz sudah beberapa kali dipukul dan terselamat daripada tikaman bekas suaminya. Walaupun Opuz telah beberapa kali membuat aduan mengenai serangan tersebut, pihak berkuasa Turki gagal mengambil tindakan terhadap laporannya termasuk kejadian bunuh ibunya.

Opuz yang berasal dari selatan Kurdish kini menjalani kehidupan yang terpencil.

"Baginya adalah amat mustahil untuk bercakap tentang kehidupan yang normal. Dia mengalami trauma akibat keganasan dan ancaman bunuh sepanjang alam perkahwinan serta selepas bercerai," tutur peguam Meral Danis Bestas.

Selain itu, kes berprofil tinggi, Ayse Pasali, 42, yang ditikam sampai mati oleh bekas suaminya di luar rumah di Ankara, pada Januari lalu turut meraih perhatian orang awam dan pihak antarabangsa.

Beberapa tahun sebelum itu, di bangunan mahkamah para wartawan menceritakan keadaan Pasali yang tidak keruan dan matanya lebam gara-gara dipukul teruk.

Sebulan kemudian seorang lagi wanita Arzu Yildirim, 33, ditembak mati di tepi jalan Istanbul. Polis kemudian mendapati beg tangannya mengandungi salinan aduan mengenai ancaman bunuh untuk diserahkan kepada pendakwa raya tempatan. Ia dikatakan dilakukan oleh bekas teman lelakinya.

Kumpulan aktivis memberitahu keganasan terhadap wanita di negara Kesatuan Eropah (EU) sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Ini menyebabkan banyak pihak menuding jari kepada badan kehakiman dan pemerintah iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Dibunuh Bila Minta Cerai

Berdasarkan laporan BIAnet iaitu stesen berita yang memberi fokus kepada pencabulan hak asasi manusia, sekitar bulan Februari dan Mac lalu seramai 52 orang wanita telah dibunuh.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 217 mati pada tahun lepas termasuklah 27 peratus wanita dibunuh akibat meminta cerai daripada suami.

Sejak tahun 2002 hingga tahun 2009, jumlah wanita mati dalam pembunuhan yang dirancang telah meningkat sebanyak 14 kali ganda. Statistik itu didedahkan oleh kementerian keadilan meskipun tidak menyertakan butiran terperinci mengenai si pelaku dan keadaan.

"Masalah di Turki kini mencapai tahap yang membimbangkan apabila semakin ramai wanita dibunuh dengan pelbagai cara," ujar Hulya Gulbahar, ketua aktivis hak wanita.

WANITA di Turki bukan sahaja dicederakan apabila melakukan kesalahan malah, ada yang dibunuh apabila meminta cerai

WANITA di Turki bukan sahaja dicederakan apabila melakukan kesalahan malah, ada yang dibunuh apabila meminta cerai.

Bagi pejuang hak asasi manusia, wanita di Turki sudah sekian lama menjadi mangsa keganasan dan pembunuhan kerana masyarakatnya masih melihat bahawa lelaki mempunyai kuasa yang lebih dominan.

Sesetengah pengkritik mendakwa parti pemerintah parti AKP tidak melihat atau cuba menangani isu itu secara serius.

"Masalah ini berlaku kerana pihak kerajaan bagaikan tidak berusaha membantu menghapuskan keganasan terhadap wanita," tegas Pinar Ilkkaracan salah seorang aktivis wanita.

Dalam pada itu, Gulbahar turut menyalahkan ketidakadilan dan propaganda yang dicetuskan terhadap wanita dan lelaki yang kebanyakannya merujuk wanita hanya layak melakukan kerja-kerja rumah dan menguruskan anak.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan cuba meredakan keadaan dengan menyatakan bahawa wanita dan lelaki tidak sama, cuma kedua-dua golongan ini saling memerlukan antara satu sama lain.

Parti AKP yang berkuasa sejak tahun 2002 menolak tuduhan bahawa jumlah wanita dibunuh dan didera semakin meningkat sebalik mendakwa ia telah disensasikan secara melampau.

"Kami ialah parti positif mempengaruhi pengundi konservatif supaya menentang keganasan. Wanita kini mula bangkit untuk mengatasi keganasan dan bersuara terhadap kes-kes yang telah dilaporkan," jelas penggubal undang-undang Fatma Sahin yang merangkap Ketua Cawangan Wanita AKP.

Ankara kini aktif menyediakan laporan yang bakal dibentangkan pada Konvensyen Majlis Eropah dalam membincangkan hal berkaitan menentang keganasan wanita.

Namun, bagi peguam Opuz ia sebenarnya bergantung kepada pelaksanaan undang-undang pada peringkat bawah.

"Pihak berkuasa gagal mengambil tindakan secara serius pada setiap ancaman bunuh. Para pendakwa dan polis gagal menyediakan apa yang masyarakat perlukan," jelas Bestas yang turut merujuk pada kes bekas suami Opuz yang pada awalnya dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun tetapi, hukuman telah dikurangkan selama enam tahun sahaja.