Sunday, May 8, 2011

Pelajar IPTA Mati Tergantung



JASIN: Tanda tanya mengenai seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ‘menyepikan diri’ selama dua hari terjawab selepas mayatnya ditemui di rumah sewanya di Taman Muhibbah, Merlimau, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, mayat S Pannir Selvan, 22, ditemui tergantung pada kipas siling oleh bapa saudaranya yang pergi ke rumah sewa mangsa.

Difahamkan, bapa saudara mangsa pergi ke rumah berkenaan untuk mencarinya selepas dua hari tidak melihatnya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian tidak membabitkan unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Pemeriksaan polis pada badan dan rumah sewa lelaki itu juga tidak menemui kesan jenayah,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Pannir Selvan tinggal menyewa di situ bersama lima lagi rakannya dan ketika kejadian, hanya dia berada di rumah berkenaan kerana teman serumahnya pulang bercuti ke kampung masing-masing.

Menurutnya, hasil bedah siasat pihak hospital mendapati mangsa mati akibat menggantung diri dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Puji Aksi Pemain



KOTA BHARU – Biarpun diberi tentangan sengit oleh Kedah sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, namun kemenangan 2-0 ke atas juara treble itu cukup bermakna bagi Kelantan untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga ketika ini. 

Gol hasil jaringan pemain veteran, Muhammad Khalid Jamlus pada m-54 sementara satu gol lagi jaringan S Chanturu pada m-66 juga hasil lorongan Muhammad Khalid sudah cukup untuk memastikan Kelantan kekal memimpin carta liga ketika ini. 

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui kemenangan malam semalam tidak diperoleh dengan mudah apatah lagi Kedah merupakan antara pasukan yang begitu liat untuk ditewaskan oleh Kelantan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. 

“Saya sememangnya sudah menjangkakan kita menghadapi kesukaran untuk mengalahkan Kedah. Malam ini (malam semalam) pemain mereka menunjukkan satu persembahan yang baik sehingga mampu mengikat keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama. 

“Namun, pada babak kedua, anda dapat lihat kita mendominasi perlawanan menukar corak permainan dengan melancarkan serangan melalui bahagian sayap. Gol pertama kita hasil jaringan Muhammad Khalid (Jamlus) dan gol kedua menerusi S Chanturu juga adalah menerusi serangan bahagian sayap. 

“Saya memuji barisan pemain Kedah yang menunjukkan satu persembahan yang bagus. Sekali pun ketinggalan, barisan penyerang mereka masih mampu memberi tekanan kepada benteng pertahanan kita. Saya fikir pujian juga harus diberikan kepada pemain pertahanan kita yang beraksi dengan baik,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam. 

Karathu turut mengakui kekebalan pertahanan Kedah yang bermain dengan baik mengakibatkan anak buahnya menghadapi kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan pasukan pelawat terutamanya pada separuh masa pertama. 

“Memang itu terjadi apabila kita bertemu dengan pasukan yang kuat termasuk Kedah dan pemain mereka sentiasa memberi tekanan, jadi kita menghadapi kesukaran memecahkan kebuntuan. Anda perhatikan, hanya pada babak kedua baru kita kembali memberi saingan. 

“Sudah banyak kali kita tidak boleh menjaringkan gol pada babak pertama. Namun yang penting pintu gol kita juga tidak dibolosi sejak lima perlawanan lalu. Biar apa pun, kemenangan ini cukup penting bagi kita dan saya berharap momentum ini kekal sehingga tamat saingan liga,” katanya. 

Sementara itu, ditanya mengenai tindakannya memasukkan Muhammad Khalid Jamlus pada pertengahan babak pertama, Karathu mengakui itu merupakan satu tindakan yang tepat setelah Solehin Kanasian Abdullah mempamerkan prestasi yang hambar dalam perlawanan itu. 

“Ianya mungkin satu tindakan yang tepat. Saya letak Muhammad Khalid (Jamlus) bermain di atas sambil Norshahrul Idlan (Talaha) dan S Chanturu membantu dia. Dia tidak sabar-sabar untuk turun beraksi dan akhirnya malam ini tiba gilirannya. Tidak sia-sia dia diturunkan, malah dia membalas kepercayaan pengurusan dengan menjaringkan gol malam ini,” katanya.

Kelantan Kian Bisa



Karathu mahu anak didik Red Warriors lebih waspada 

KETUA jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui anak buahnya terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya mengutip mata penuh ketika menewaskan Kedah 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohamad Ke- IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Beliau yang menyifatkan perlawanan membabitkan anak buahnya menentang pasukan dari utara itu sebagai sengit berkata, walaupun gagal meraih gol pada separuh masa pertama, namun hasil percaturan dan strategi akhirnya Kelantan membenam Kedah hasil jaringan Mohd Khalid Jamlus pada minit ke-54 dan S Chanturu (minit ke-66).

Katanya, beliau terpaksa membuat percaturan dan mengubah rentak permainan anak buahnya untuk menjadi lebih baik pada separuh masa kedua, hasilnya The Red Warriors berjaya menggunakan kelemahan pasukan lawan sekali gus mencipta peluang dan menggandakan asakan memburu jaringan. 

“Perlawanan malam ini cukup sengit bagi saya kerana kita berdepan dengan lawan yang mempunyai ramai pemain hebat selain Kelantan tidak mampu menghasilkan sebarang jaringan pada separuh masa pertama. 

“Bagaimanapun, kita dapat mengesan kelemahan pihak lawan, saya juga membuat sedikit perubahan pada separuh masa kedua untuk mencipta peluang dan ternyata ia berhasil apabila kita berjaya menjaringkan dua gol,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan. 

Jaringan Mohd Khalid Jamlus pada minit ke-54 berjaya memecah kebuntuan Kelantan dan sokongan padu peminat The Red Warriors berbaloi apabila S Chanturu merembat kencang tepat ke gawang gol Kedah pada minit ke-66 untuk memastikan kemenangan milik Kelantan. 
Karathu turut memuji pemain posisi tengah, Mohd Badri Radzi dan Mohd Shakir Shaari yang mengawal ketat permainan selain turut membantu jentera serangan Kelantan mendapatkan gol. 

Katanya, Kelantan berjaya mengawal permainan pada separuh masa kedua apabila menemui rentak permainan sebenar selepas mendapat gol pertama dan terus mengasak kubu lawan sehingga tamat permainan. 

Kelantan Makin Mengganas


KHALID JAMLUS membuka jaringan Kelantan pada aksi menentang Kedah

KELANTAN terus mengungguli persada liga selepas mencatat kemenangan kelima berturut- turut pada pusingan kedua Liga Super selepas membenam caba- ran Kedah 2-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Jaringan pembukaan oleh pemain veteran, Muhammad Khalid Jamlus (54) dan pemain yang menerima jolokan 'Kelantan Ekspres', S. Chanturu pada minit ke-66 sudah cukup meletakkan Kelantan tampil dalam kelas tersendiri.

Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu menyifatkan perlawanan malam kelmarin sebagai antara aksi terbaik pernah dipamerkan selain mengagumi ketenangan para pemainnya ketika mereka kini berada dalam situasi yang tertekan untuk menguasai persada liga.

Menurutnya, kemenangan tersebut adalah lebih daripada sekadar tiga mata yang diperoleh, sebaliknya ia merupakan tonik terbaik untuk Kelantan ketika mereka bakal berkunjung ke Negeri Sembilan, Selasa ini sebelum berdepan Selangor dalam separuh akhir Piala FA.

"Perlawanan malam semalam (kelmarin) bukan mudah untuk kita. Kedah sebuah pasukan yang kuat dan konsisten. Mereka ada ramai pemain kebangsaan dan telah menunjukkan satu persembahan yang baik sehingga kita seri ketika aksi di Alor Setar.

"Namun kita bernasib baik kerana sokongan peminat yang membanjiri stadium memberi satu kekuatan kepada pemain untuk mencari kemenangan dan akhirnya mereka membuktikan pasukan terbaik mampu memenangi perlawanan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan oleh bari- san pemainnya sepanjang perla- wanan tersebut, terutamanya pemain gantian yang dilihat memberi impak yang berkesan kepada persembahan pasukan.

Jelasnya, kekuatan Kelantan bukan terletak kepada kesebela- san utama tetapi seluruh pasukan yang mana semua pemainnya memiliki kualiti dan bersedia diturunkan pada bila-bila masa yang diperlukan

"Saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh para pemain. Saya membawa masuk Khalid dan dia beraksi dengan baik serta menggunakan peluang yang telah diberikan. Hasilnya dia membuktikan dia masih seorang penyerang yang baik.

"Dalam pasukan tiada siapa mampu berkata mereka akan kekal dalam kesebelasan utama kerana saya sentiasa membuat pemantauan dan hanya yang terbaik akan disenaraikan kerana misi kita untuk memburu keme- nangan dalam semua perlawanan," ujarnya.