Saturday, May 7, 2011

Wanita Menceritakan Diseksa di Neraka



Selama hampir sembilan tahun menetap di Mekah dan membantu ayah saya menguruskan jemaah haji dan umrah, saya telah melalui pelbagai pengalaman menarik dan pelik.

Walaubagaimanapun, dalam banyak-banyak peristiwa itu, ada satu kejadian yang pasti tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di pertengahan 30-an. Kejadian itu berlaku pada pertengahan 1980-an semasa saya menguruskan satu rombongan haji. Ketika itu umur saya baru 20 tahun dan masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Kebetulan ketika itu saya balik ke Mekah sekejap untuk menghabiskan cuti semester.

Saya menetap di Mekah mulai 1981 selepas menamatkan pengajian di Sekolah Agama Gunung Semanggol, Perak. Keluarga saya memang semuanya di Mekah, cuma saya seorang saja tinggal dengan nenek saya di Perak.

Walaupun masih muda, saya ditugaskan oleh bapa saya, Haji Nasron untuk menguruskan jemaah haji dan umrah memandangkan saya adalah anak sulung dalam keluarga.

Berbalik kepada cerita tadi, ketibaan wanita tersebut dan rombongan haji di Lapangan Terbang Jeddah kami sambut dengan sebuah bas. Semuanya nampak riang sebab itulah kali pertama mereka mengerjakan haji. Sebaik sampai, saya membawa mereka menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke Madinah. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar hinggalah kami sampai di Madinah.

Tiba di Madinah, semua orang turun daripada bas berkenaan. Turunlah mereka seorang demi seorang sehingga tiba kepada giliran wanita terbabit. Tanpa apa-apa sebab, sebaik sahaja kakinya mencecah bumi Madinah, tiba-tiba wanita itu tumbang tidak sedarkan diri.

Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus jemaah itu, saya pun bergegas menuju ke arah wanita berkenaan.

"Kakak ni sakit," kata saya pada jemaah-jemaah yang lain.

Suasana yang tadinya tenang serta merta bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik dengan apa yang sedang berlaku.

"Badan dia panas dan menggigil. Kakak ni tak sedarkan diri, cepat tolong saya, kita bawa dia ke hospital," kata saya.

Tanpa membuang masa, kami mengangkat wanita tersebut dan membawanya ke hospital Madinah yang terletak tidak jauh dari situ. Sementara itu, jemaah yang lain dihantar ke tempat penginapan masing-masing. Sampai di hospital Madinah, wanita itu masih belum sedarkan diri. Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh doktor untuk memulihkannya, namun semuanya gagal. Sehinggalah ke petang, wanita itu masih lagi koma.

Sementara itu, tugas mengendalikan jemaah perlu saya teruskan. Saya terpaksa meninggalkan wanita tersebut terlantar di hospital berkenaan. Namun dalam kesibukan menguruskan jemaah, saya menghubungi hospital Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita tersebut. Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri. Selepas dua hari, wanita itu masih juga tidak sedarkan diri. Saya makin cemas, maklumlah, itu adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi seperti itu.

Memandangkan usaha untuk memulihkannya semuanya gagal, maka wanita itu dihantar ke Hospital Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan lanjut sebab pada masa itu hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya berbanding hospital Madinah. Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak berhasil. Jadual haji mesti diteruskan. Kami bertolak pula ke Mekah untuk mengerjakan ibadat haji.

Selesai haji, sekali lagi saya pergi ke Jeddah. Malangnya, bila sampai di Hospital King Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita tersebut masih koma. Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil. Melihat keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya di hospital.

Selepas dua hari menunggu, akhirnya wanita itu membuka matanya. Dari sudut matanya yang terbuka sedikit itu, dia memandang ke arah saya. Sebaik saja terpandang wajah saya, wanita tersebut terus memeluk saya dengan erat sambil menangis teresak- esak. Sudah tentu saya terkejut sebab saya ni bukan muhrimnya. Tambahan pula kenapa saja dia tiba-tiba menangis?? Saya bertanya kepada wanita tersebut;

"Kenapa kakak menangis?"

"Mazlan.. kakak taubat dah Lan. Kakak menyesal, kakak takkan buat lagi benda-benda yang tak baik. Kakak bertaubat, betul-betul taubat."

"Kenapa pulak ni kak tiba-tiba saja nak bertaubat?" tanya saya masih terpinga-pinga.

Wanita itu terus menangis teresak-esak tanpa menjawab pertanyaan saya itu. Seketika kemudian dia bersuara, menceritakan kepada saya mengapa dia berkelakuan demikian, cerita yang bagi saya perlu diambil iktibar oleh kita semua. Katanya ;

"Mazlan, kakak ni sudah berumah tangga, kahwin dengan lelaki orang putih. Tapi kakak silap. Kakak ini cuma Islam pada nama dan keturunan saja. Ibadat satu apa pun kakak tak buat. Kakak tak sembahyang, tak puasa, semua amalan ibadat kakak dan suami kakak tak buat. Rumah kakak penuh dengan botol arak. Suami kakak tu kakak sepak tendang, kakak pukul-pukul saja," katanya tersedu-sedan.

"Habis yang kakak pergi haji ini?"

"Yalah...kakak tengok orang lain pergi haji, kakak pun teringin juga nak pergi."

"Jadi apa sebab yang kakak menangis sampai macam ni sekali. Ada sesuatu ke yang kakak alami semasa koma?" tanya saya lagi.

Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan ;

"Mazlan...Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya. Semasa koma tu, kakak telah diazab dengan seksaan yang benar-benar pedih atas segala kesilapan yang telah kakak buat selama ini.

"Betul ke kak?" tanya saya, terkejut.

"Betul Mazlan. Semasa koma itu kakak telah ditunjukkan oleh Allah tentang balasan yang Allah beri kepada kakak. Balasan azab Lan, bukan balasan syurga. Kakak rasa seperti diazab di neraka. Kakak ni seumur hidup tak pernah pakai tudung. Sebagai balasan, rambut kakak ditarik dengan bara api. Sakitnya tak boleh nak kakak ceritakan macam mana pedihnya. Menjerit-jerit kakak minta ampun minta maaf kepada Allah."

"Bukan itu saja, buah dada kakak pula diikat dan disepit dengan penyepit yang dibuat daripada bara api, kemudian ditarik ke sana-sini, putus, jatuh ke dalam api neraka. Buah dada kakak rentung terbakar, panasnya bukan main. Kakak menjerit, menangis kesakitan. Kakak masukkan tangan ke dalam api itu dan kakak ambil buah dada tu balik", tanpa mempedulikan pesakit lain dan jururawat memerhatikannya wanita itu terus bercerita.

Menurutnya lagi, setiap hari dia diseksa, tanpa henti, 24 jam sehari. Dia tidak diberi peluang langsung untuk berehat atau dilepaskan daripada hukuman sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan azab yang amat pedih. Dengan suara tersekat-sekat, dengan air mata yang makin banyak bercucuran, wanita itu meneruskan ceritanya ;

"Hari-hari kakak diseksa. Bila rambut kakak ditarik dengan bara api, sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit kepala. Panasnya pula menyebabkan otak kakak terasa seperti menggelegak. Azab itu cukup pedih, pedih yang amat sangat, tak boleh nak diceritakan."

Sambil bercerita, wanita itu terus meraung, menangis teresak-esak. Nyata dia betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu. Saya pula terpegun, kaget dan menggigil mendengar ceritanya. Begitu sekali balasan Allah kepada umatnya yang ingkar.

"Mazlan...kakak ni nama saja Islam, tapi kakak minum arak, kakak main judi dan segala macam dosa besar. Kerana kakak suka makan dan minum apa yang diharamkan Allah, semasa tidak sedarkan diri itu kakak telah diberi makan buah-buahan yang berduri tajam. Tak ada isi pada buah itu melainkan duri-duri saja. Tapi kakak perlu makan buah-buah itu sebab kakak betul-betul lapar."

"Bila ditelan saja buah-buah itu, duri-durinya menikam kerongkong kakak dan bila sampai ke perut, ia menikam pula perut kakak. Sedangkan jari yang tercucuk jarum pun terasa sakitnya, inikan pula duri-duri besar menyucuk kerongkong dan perut kita. Habis saja buah-buah itu kakak makan, kakak diberi pula makan bara-bara api. Bila kakak masukkan saja bara api itu ke dalam mulut, seluruh badan kakak rasa seperti terbakar hangus. Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api yang ada di dunia ini tidak akan sama dengan kepanasannya.

Selepas habis bara api, kakak minta minuman, tapi kakak dihidangkan pula dengan minuman yang dibuat daripada nanah. Baunya cukup busuk. Tapi kakak terpaksa minum sebab kakak sangat dahaga. Semua terpaksa kakak lalui, azabnya tak pernah rasa, tak pernah kakak alami sepanjang kakak hidup di dunia ini."

Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun. Terasa sungguh kebesaran Allah.

"Masa diazab itu, kakak merayu mohon kepada Allah supaya berilah kakak nyawa sekali lagi, berilah kakak peluang untuk hidup sekali lagi. Tak berhenti-henti kakak memohon. Kakak kata kakak akan buktikan bahawa kakak tak akan ulangi lagi kesilapan dahulu. Kakak berjanji tak akan ingkar perintah Allah, akan jadi umat yg soleh. Kakak berjanji kalau kakak dihidupkan semula, kakak akan tampung segala kekurangan dan kesilapan kakak dahulu, kakak akan mengaji, akan sembahyang, akan puasa yang selama ini kakak tinggalkan."

Saya termenung mendengar cerita wanita itu. Benarlah, Allah itu Maha Agung dan Maha Berkuasa. Kita manusia ini tak akan terlepas daripada balasannya. Kalau baik amalan kita maka baiklah balasan yang akan kita terima, kalau buruk amalan kita, maka azablah kita di akhirat kelak. Alhamdulillah, wanita itu telah menyaksikan sendiri kebenaran Allah.

"Ini bukan mimpi Mazlan. Kalau mimpi azabnya takkan sampai pedih macam tu sekali. Kakak bertaubat Mazlan, kakak tak akan ulangi lagi kesilapan kakak dahulu. Kakak bertaubat, kakak taubat nasuha," katanya sambil menangis-nangis.

Sejak itu wanita berkenaan benar-benar berubah. Bila saya membawanya ke Mekah, dia menjadi jemaah yang paling warak. Amal ibadahnya tak henti-henti. Contohnya, kalau wanita itu pergi ke masjid pada waktu maghrib, dia cuma akan balik ke biliknya semula selepas sembahyang subuh.

"Kakak, yang kakak sembahyang teruk-teruk ni kenapa? Kakak kena jaga juga kesihatan diri kakak. Lepas sembahyang Isyak tu kakak baliklah, makan nasi ke, berehat ke." tegur saya.

"Tak apalah Mazlan. Kakak ada bawa buah kurma. Bolehlah kakak makan semasa kakak lapar."

Menurut wanita itu, sepanjang berada di dalam Masjidil Haram, dia mengqada'kan semula sembahyang yang ditinggalkannya dahulu. Selain itu dia berdoa, mohon kepada Allah supaya mengampunkan dosanya. Saya kasihan melihatkan keadaan wanita itu, takut kerana ibadah dan tekanan perasaan yang keterlaluan dia akan jatuh sakit pula. Jadi saya menasihatkan supaya tidak beribadat keterlaluan hingga mengabaikan kesihatannya.

"Tak boleh Mazlan. Kakak takut, kakak dah merasai pedihnya azab Tuhan. Mazlan tak rasa, Mazlan tak tau. Kalau Mazlan dah merasai azab itu, Mazlan juga akan jadi macam kakak. Kakak betul-betul bertaubat."

Wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya ;

"Mazlan, kalau ada perempuan Islam yang tak pakai tudung, Mazlan ingatkanlah pada mereka, pakailah tudung. Cukuplah kakak seorang saja yang merasai seksaan itu, kakak tak mau wanita lain pula jadi macam kakak. Semasa diazab, kakak tengok undang-undang yang Allah beri ialah setiap sehelai rambut wanita Islam yang sengaja diperlihatkan kepada orang lelaki yang bukan muhrimnya, maka dia diberikan satu dosa. Kalau 10 orang lelaki bukan muhrim tengok sehelai rambut kakak ini, bermakna kakak mendapat 10 dosa."

"Tapi Mazlan, rambut kakak ini banyak jumlahnya, beribu-ribu. Kalau seorang tengok rambut kakak, ini bermakna beribu-ribu dosa yang kakak dapat. Kalau 10 orang tengok, macam mana? Kalau 100 orang tengok? Itu sehari, kalau hari-hari kita tak pakai tudung macam kakak ni? Allah..."

"Kakak berazam, balik saja dari haji ini, kakak akan minta tolong dari ustaz supaya ajar suami akak sembahyang, puasa, mengaji, buat ibadat. Kakak nak ajak suami pergi haji. Seperti mana kakak, suami kakak tu Islam pada nama saja. Tapi itu semua kesilapan kakak. Kakak sudah bawa dia masuk Islam, tapi kakak tak bimbing dia. Bukan itu saja, kakak pula yang jadi seperti orang bukan Islam."

Sejak balik dari haji itu, saya tak dengar lagi apa-apa cerita tentang wanita tersebut. Walaubagaimanapun, saya percaya dia sudah menjadi wanita yang benar-benar solehah. Adakah dia berbohong kepada saya tentang ceritanya diazab semasa koma?

Tidak.

Saya percaya dia bercakap benar. Jika dia berbohong, kenapa dia berubah dan bertaubat nasuha?

Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang diterimanya itu dengan azab yang digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam Al-Quran dan hadis.

Adakah ia bercanggah?

Benar, apa yang berlaku itu memang kita tidak dapat membuktikannya secara saintifik, tapi bukankah soal dosa dan pahala, syurga dan neraka itu perkara ghaib? Janganlah bila kita sudah meninggal dunia, bila kita sudah diazab barulah kita mahu percaya bahawa...

"Oh... memang betul apa yang Allah dan Rasul katakan. Aku menyesal..."

Sumber: I.L.I

Itu dah terlambat.

Kelantan, Selangor Kekal Kedudukan


KUALA LUMPUR - Terengganu berpesta gol apabila membelasah Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Namun pesta gol skuad Penyu tidak membantu mereka merampas takhta Liga Super apabila dua pasukan teratas, Kelantan dan Selangor mengekalkan kedudukan masing-masing setelah turut melakar kemenangan di laman sendiri.

Abdul Manaf Mamat meledak dua gol untuk Terengganu pada minit ke-52 dan ke-75. Dua lagi jaringan pasukan tuan rumah menerusi Abdul Hadi Yahya (m-18) dan Hellmi Rameli (m-70).

Di Stadium Shah Alam, Selangor cemas seketika sebelum memastikan kemenangan 3-2 ke atas Johor FC.

PEMAIN Kelantan, S. Chanturu (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Kedah pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu

Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-22 menerusi Shahrizal Mohd. Saad, namun Selangor bangkit dengan jaringan Rudie Ramli (m-65) dan Amri Yahya (m-69) manakala jaringan ketiga oleh Azidan Sarudin (m-77).

Mohd. Khairul Ismail menjaringkan gol kedua Johor FC.

Rentak kemenangan pendahulu liga, Kelantan bagaikan tidak mampu disekat apabila menang 2-0 ke atas Kedah di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu menerusi jaringan Khalid Jamlus (m-54), S. Chanturu (m-66).

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis akhirnya melakar kemenangan kedua musim ini apabila mengatasi T-Team 2-1.

Namun pelawat mendahului menerusi Haris Safwan pada minit ke-18. Perlis bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Rizal Ghazali pada minit ke-26 dan Syed Abdul Ghafar Syed Amir muncul wira dengan gol kemenangan Perlis pada minit ke-83.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, Felda United mengalahkan Harimau Muda A 2-0 hasil jaringan Liew Kit Kong (m-40) dan bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof (m-76).

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mencatat kemenangan ketiga apabila mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Zainizam Marjan (m-68) dan Md. Farid Ideris (m-84).

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah yang kalah dalam dua perlawanan terakhir, seri tanpa jaringan dengan Pahang.

Benam Kedah 2-0: Kelantan Kuasai Takhta Liga Super



KUALA LUMPUR 7 Mei — Kelantan menguasai persada Liga Super dengan kelebihan jaringan apabila menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan liga di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Baharu, malam tadi.

Kelantan hanya bangkit pada babak kedua untuk mencari gol kemenangan menerusi bekas pemain kebangsaan, Mohd Khalid Jamlus pada minit ke-54 dan S. Chanturu pada minit ke-66.

Kejayaan Kelantan di bawah bimbingan Datuk M. Karathu itu membolehkan pasukan itu mengumpul 39 mata, sama dengan pencabar terdekat Selangor, Di Stadium Shah Alam, Selangor dipaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Johor FC 3-2.

Gol Red Giants masing-masing dijaringkan oleh Rudie Ramli pada minit ke-64, Mohd Amri Yahyah (min-69) dan Azidan Sarudin (min-77) sementara gol pelawat dijaringkan oleh Shahrizal Mohd Saad (min-22) dan Mohammad Khairul Ismail (min-79).

Kelantan Kekal Pendahulu Liga



KOTA BHARU – Kelantan terus unggul mengekalkan kedudukan selaku peneraju takhta liga setelah mengalahkan Kedah 2-0 dalam aksi perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Biarpun diberi tekanan hebat oleh dua pencabar terdekat, Selangor dan Terengganu yang turut mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing, namun tampuk penguasaan liga masih lagi kekal milik The Red Warriors yang mengatasi Selangor menerusi perbezaan jaringan gol dan berkelebihan satu mata ke atas Terengganu. 

Terima kasih kepada Muhammad Khalid Jamlus dan S Chanturu yang menjaringkan gol terpenting untuk Kelantan pada babak kedua dalam perlawanan malam tadi. 

Seawal minit kelima, Kelantan terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha namun pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut setelah dia dikesan berada di dalam kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan. 

Empat minit kemudian, giliran pasukan Kedah mencemaskan pintu gol Kelantan apabila hantaran lintang Mohamad Azmi Muslim hampir memerangkap Khairul Fahmi yang gagal menangkap kemas hantaran tersebut namun Zairul Fitree Ishak bijak mengeluarkan bola daripada situasi merbahaya di depan pintu gol Kelantan. 

Pada m-14, sepakan penjuru ‘inswinger’ Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi hampir menghasilkan gol pertama Kelantan namun Amar Rohidan pantas menanduk keluar sementara percubaan susulan Mohd Shakir Shaari selepas itu mudah dikeluarkan Mohamad Azmi. 

Biarpun baru seminit dimasukkan, sentuhan pertama Muhammad Khalid Jamlus pada m-27, cukup mempesonakan apabila bola lorongannya kepada S Chanturu nyaris menghasilkan gol pertama Kelantan namun tampanan kurang kemas Norshahrul Idlan menyaksikan bola tinggi melewati pintu gol pasukan pelawat. 

Selang seminit kemudian, Muhammad Khalid sendiri mensia-siakan peluang terbaiknya apabila rembatan kencangnya di dalam kotak penalti diselamatkan penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias. 

Dua minit kemudian, Muhammad Khalid sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan di depan namun rembatannya cukup lemah menyaksikan bola terus ke dakapan Mohd Helmi Eliza. 

Pada m-31, pintu gol Kelantan sekali lagi diuji kali ini menerusi tandukan cantik penyerang mudanya, Mohamad Faizal Abu Bakar yang menerima hantaran lintang Mohamad Azmi namun Khairul Fahmi pantas melayangkan badan menepis keluar tandukan tersebut. 

Lima minit sebelum babak pertama beraksi, Mohd Helmi Eliza sekali lagi dipaksa bekerja keras di gawang golnya apabila terpaksa menepis keluar rembatan kencang Mohd Shakir Shaari hasil sepakan penjuru Mohd Nurul Azwan sebelum itu. 

Bersambung babak kedua, Kelantan tidak perlu menunggu lama untuk memperolehi gol pertama perlawanan apabila Muhammad Khalid berjaya menjaringkan gol pada m-54. Hantaran lintang Mohd Nurul Azwan di dalam kotak penalti yang memperdayakan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza, mudah ditampan kemas Muhammad Khalid untuk menghasilkan gol pertama Kelantan. 

Pada m-66, Muhammad Khalid sekali lagi mencetuskan ‘aura’nya tersendiri apabila hantaran silangnya mudah disempurnakan S Chanturu menerusi rembatan kencang untuk menewaskan Mohd Helmi Eliza di gawang gol Kedah bagi menghasilkan gol kedua Kelantan. 

The Red Warriors mempunyai dua peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan namun sepakan lambung Norshahrul Idlan pada m-73 hanya sedikit melewati pintu gol sementara rembatan kencang Mohd Nurul Azwan tiga minit kemudian tersasar di sebelah kiri pintu gol Kedah. 

Sekalipun ketinggalan dua gol, semangat juang anak buah Wan Jamak Wan Hassan itu tidak pernah pudar untuk merapatkan jurang apabila turut mempunyai dua peluang terbaik menerusi rembatan kencang Baddrol Bakhtiar pada m-82 yang sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Kelantan. 

Sementara gerakan menarik pemain gantian, Mohamad Fiqry Md Isa yang memperdayakan dua pemain pertahanan Kelantan seminit selepas itu menyaksikan bola rembatannya tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan. 

Rembatan kencang Muhd Badhri yang singgah dipalang gol Kedah pada minit-minit akhir perlawanan menutup tirai penguasaan mutlak Kelantan untuk terus memimpin carta liga menerusi kemenangan 2-0 ke atas Sang Kenari malam tadi. 

Kesebelasan utama pemain:

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Muhammad Khalid Jamlus) S Chanturu (Mohd Izuan Salahuddin) dan Norshahrul Idlan Talaha. 

Formasi : 4-4-2 

KEDAH : Mohd Helmi Eliza Elias, Khairul Helmi Johari, Mohd Fauzie Nan (KP), Shafizan Hashim, Mohd Azmi Muslim (Mohd Fazliata Taib), V Thirumurugan, Amar Rohidan, Wan Mohd Asraf Wan Ali (Mohamad Fiqry Md Isa), Baddrol Bakhtiar, Mohamad Faizal Abu Bakar, dan Mohd Firdaus Mohd Faudzi (Hattaphon Bun An). 

Formasi : 4-4-2

Kelantan Kekal di Puncak Liga


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) cuba melepasi pertahanan Kedah di Stadium Sultan Mohamad IV, malam tadi

Selangor, Terengganu tak berubah selepas masing-masing menang 

KELANTAN kekal menerajui Liga Super selepas menang 2-0 ke atas Kedah, dengan pesaing terdekat, Selangor turut mengumpul tiga mata penuh selepas menewaskan Johor FC 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Di Stadium Sultan Mohamad IV, Khalid Jamlus meledak gol pembukaan Kelantan pada minit ke-54 selepas memanfaatkan hantaran lintang Nurul Azwan Roya, dan S Chanturu melebarkan jaringan menerusi rembatan padu minit ke-66.
Di Stadium Shah Alam, Selangor bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Johor FC 3-2 selepas pelawat di depan menerusi rembatan Syahrizal Saad pada minit ke-22 yang menewaskan penjaga gol, Saiful Amar Sudar. 

Namun bermula babak kedua, Selangor bingkas dengan tiga gol dalam tempoh kurang 15 minit menerusi Rudie Ramli (m-64), Mohd Amri Yahyah (m-69) dan Azidan Sarudin (m-78) sebelum Johor FC merapatkan jurang menerusi Mohd Khairul Ismail seminit kemudian. 

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu mengutip tiga mata penuh untuk terus mengekori Kelantan dan Selangor, selepas mengalahkan Kuala Lumpur 4-0. 

Abdul Hadi Yahya membuka jaringan pada minit ke-18 dengan menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali untuk mendahului babak pertama dan Manaf Mamat menambah jaringan (m-52) selepas menyempurnakan hantaran Ashaari Shamsudin. 
Terengganu terus mengasak dan memperoleh gol ketiga menerusi Helmi Remeli yang bijak melepasi pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-65 sebelum Manaf melengkapkan kemenangan hasil percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-75. 

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis merakam kemenangan kedua musim ini selepas bangkit untuk menundukkan T-Team 2-1. 

T-Team di depan hasil jaringan Mohd Haris Safwan Kamal pada minit ke-17 tetapi gerakan solo Mohd Rizal Ghazali menewaskan penjaga gol, Mohd Syamsuri Mustafa pada minit ke-25 sebelum Syed Abdul Ghaffar Syed Amir meledak gol kemenangan empat minit sebelum tamat. 

Di Stadium Likas, Sabah terus mempamerkan kehebatan di gelanggang sendiri apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-0 hasil gol lewat permainan Zainizam Marjan (m-68) dan Mohd Farid Idris (m-84). 

Di Stadium MBPJ Kelana Jaya, FELDA United menundukkan Harimau Muda A, 2-0 hasil tandukan padu Liew Kit Kong (m-40) dan Nizaruddin Yusoff (m-76). 

Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah sekadar seri tanpa jaringan dengan Pahang.