Thursday, April 28, 2011

Karathu Tarik Nafas Lega


KOTA BHARU – Biarpun Kelantan hanya mampu mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas musuh tradisinya Selangor, raut wajah pengendali, Datuk M Karathu jelas menggambarkan kepuasan tatkala anak buahnya dilihat bermain di bawah tahap keupayaan yang sebenar pada perlawanan malam semalam. 

Dalam perlawanan itu, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha muncul wira The Red Warriors apabila gol hasil jaringannya seawal minit keempat perlawanan sudah cukup untuk memastikan Kelantan mengutip tiga mata berharga di tempat sendiri. 

“Pada separuh masa pertama, benteng pertahanan pasukan Selangor dilihat lebih kebal dan hanya sekali sekala melakukan serangan ke pintu gol Kelantan. Mereka cuma mengharapkan serangan balas dan terbukti pemain kita sudah cukup bersedia menghadapi situasi itu. 

“Gol pertama Kelantan hasil jaringan Norshahrul Idlan (Talaha) seawal minit keempat perlawanan itu, ternyata mencetuskan suntikan semangat kepada pemain kita. Bahkan anda dapat lihat kita sebenarnya menguasai perlawanan pada babak pertama. 

“Pada separuh masa kedua, memang saya tahu pasukan Selangor akan menyerang habis-habisan. Sebab itu saya memperkemaskan corak permainan dengan meletakkan hanya seorang penyerang di bahagian depan. Walaupun pemain mereka lebih gemar melakukan hantaran jauh, namun kita sebenarnya dilihat lebih menguasai bahagian tengah,” katanya. 

Menurutnya, menyedari pemain Selangor dilihat tertekan setelah ketinggalan satu gol, pemain Kelantan seharus memanfaatkan satu dua peluang yang diperoleh sepanjang perlawanan itu dengan menjarakkan kedudukan namun ternyata disia-siakan oleh pemainnya. 

“Bagaimanapun, kemenangan ini sebenarnya cukup baik bagi kita. Apa yang penting, kita tidak jauh ketinggalan menyaingi dua pasukan itu (Selangor dan Terengganu) dalam memburu kejuaraan liga musim ini,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai persembahan hambar Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi dalam perlawanan itu, Karathu mempertahankan tindakannya terus ‘menyimpan’ pemain itu sehinggalah dia dikeluarkan pada penghujung perlawanan. 

“Prestasi Muhd Badhri tidaklah seburuk yang disangkakan. Dia bermain dengan baik cuma tidak menggunakan peluang yang dimilikinya itu dengan menjaringkan gol. Saya fikir, dia sudah memberikan yang terbaik di atas padang dengan kerja kuatnya sehinggalah saya mengeluarkannya lima minit sebelum perlawanan berakhir,” katanya.

Karathu Lega Kutip 3 Mata

Pengendali Red Warriors itu tetap puji semangat melawan Selangor 

KETUA jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menyifatkan jaringan awal Norshahrul Talaha sebagai elemen penting membantu pasukan mengutip mata penuh mengatasi Selangor dalam saingan penting Liga Super di halaman sendiri, malam kelmarin.

“Ini adalah satu kemenangan baik untuk memastikan Kelantan dapat kembali menguasai takhta liga memandangkan berjaya menumpaskan Selangor yang disegani masa kini terutama dengan ramai pemain berpengalaman.
“Bagaimanapun, Kelantan lebih mampu meraih kemenangan dengan jaringan awal itu sehingga mengecewakan Selangor walaupun ada ketika hampir menyamakan kedudukan,” katanya. 

Karathu menegaskan ketua pasukan, Mohd Badri Radzi sudah memberi persembahan yang baik walaupun melepaskan banyak peluang, menyebabkan penonton kecewa dengan permainannya. 

“Badri sudah menunjukkan satu permainan yang baik, namun gagal menggunakannya sehingga penonton tidak suka terhadapnya. Namun saya memujinya bekerja keras dan menyimpannya sebelum bertindak mengeluarkan pada lima minit terakhir,” katanya. 

Apapun, dia tetap akur betapa Selangor bukan satu pasukan mudah ditumbangkan kerana skuad Merah Kuning itu mempunyai ramai pemain berkualiti serta berpengalaman.