Wednesday, April 27, 2011

Maut Lintas Jalan ke Kedai Durian


KUANTAN: Hasrat seorang lelaki warga emas mahu membeli durian di sebuah gerai di tepi jalan berakhir tragedi menyedihkan apabila dia maut selepas dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan, di Kilometer 32, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Mat Ismail, 75, dari Felda Bukit Sagu, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Sebelum kejadian, mangsa menaiki kereta bersama anaknya dalam perjalanan ke Segamat dari Kuantan sebelum berhenti di tepi jalan untuk membeli durian.

Pegawai Penguatkuasa Pentadbiran Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata mangsa kemudian keluar daripada kereta berkenaan sebelum cuba untuk melintas jalan menuju ke gerai durian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, penunggang motosikal terbabit dipercayai tidak sempat hendak mengelak berikutan jarak terlalu dekat sebaik saja melihat mangsa sedang melintas jalan.

Katanya, mayat mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat dijalankan, malam kelmarin.

“Penunggang motosikal terbabit turut cedera selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gambang untuk menerima rawatan.

“Siasatan turut mendapati, ketika kejadian permukaan jalan kering dan cuaca baik kecuali lampu jalan tiada menyebabkan penunggang motosikal itu dipercayai tidak menyedari mangsa sedang melintas,” katanya.

Terengganu, Kelantan Himpit Selangor

KUALA LUMPUR - Terengganu merapatkan jurang satu mata dengan Selangor dalam carta bola sepak Liga Super selepas pendahulu liga itu kecundang 1-0 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.

Kegagalan Merah Kuning menembusi kubu Wira Merah, turut membantu Si Penyu yang diterajui Irfan Bakti Abu Salim kekal mengekori di tangga kedua dengan 31 mata setelah menumpaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Jaringan tunggal hasil tandukan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit kelima, sudah memadai untuk menghampakan anak buah K. Devan tetapi masih mengekalkan Kelantan di tangga ketiga dengan 30 mata.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) mengelak asakan pemain pertahanan Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu

Pemain Terbaik Liga-M 2010 itu menanduk menewaskan penjaga gol Saiful Amar Sudar, selepas menyambung tandukan awal ketua pasukan, Badri Radzi di dalam kotak penalti yang berpunca daripada lontaran ke dalam.

Menambah tiga mata dengan menewaskan Kuala Lumpur 5-3 di Stadium Perak, Ipoh, Perak pula melonjak ke tangga keempat liga sambil memintas Kedah, yang kini diterajui bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan.

Gol Seladang dihasilkan oleh Razali Umar Kandasamy, gol sendiri Ahmad Dasila Tajuddin, Fazrul Hazli, Shafiq Jamal dan Nor Hazrul Mustafa manakala pelawat membalas menerusi See Kok Luen, Ahmad Hazwan Bakri dan Khairul Anuar Shafie.

Indra Putra Mahayuddin, Shamsul Kamal Mohamad dan Zairo Anuar Zailani menghampakan Wan Jamak dan Si Kenari 3-1 dengan gol buat T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Sayap kanan, Baddrol Bakhtiar menyumbat gol tunggal Kedah sejurus sebelum tamat babak pertama tetapi belum cukup untuk mengelak kekalahan itu dan kejatuhan Kedah ke tangga kelima liga.

Red Warriors Menang Tipis


KOTA BHARU – Kelantan terus mengekalkan rekod cemerlang beraksi di gelanggang sendiri setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pendahulu liga, Selangor dalam aksi perlawanan bola sepak Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Jaringan tunggal penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit keempat perlawanan sudah cukup untuk memastikan The Red Warriors terus unggul mengutip tiga mata penting bagi memburu kejuaraan liga pertama musim ini. 

Beraksi di hadapan hampir 25,000 penyokong setia The Red Warriors, anak buah Datuk M Karathu turut mendapat suntikan semangat apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut berangkat mencemar duli menyaksikan perlawanan malam tadi. 

Seawal minit keempat, pintu gol Selangor dibolosi menerusi jaringan Norshahrul Idlan. Berpunca lontaran ke dalam yang dilakukan Mohd Daudsu Jamaluddin ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri Radzi menanduk ke belakang dan Norshahrul Idlan pantas menanduk masuk untuk gol tunggal Kelantan dalam perlawanan malam tadi. 

Ternyata gol awal tersebut memberi kejutan kepada anak buah K Devan yang dilihat baru hendak menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan mereka dalam perlawanan itu. 

Namun, dua minit kemudian, Selangor memperolehi peluang pertama untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak dekat P Gunalan yang menyaksikan penjaga go Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa menepis sepakan tersebut. 

Pada minit kelapan, Kelantan hampir memperolehi gol kedua gara-gara kesilapan Azidan Sarudin yang tertampan bola ke gawang gol Selangor yang berpunca sepakan sudut Danial Fadzly Abdullah namun penjaga gol, Saiful Amar Sudar berada tepat di kedudukannya menyelamatkan situasi merbahaya itu. 

Pada m-23, pasukan pelawat sekali lagi hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik Mohd Nasriq Baharom yang sedikit melewati palang gol Kelantan berpunca sepakan percuma Shafiq Rahim sebelum itu. 

Pada m-28, kesilapan Saiful Amar yang gagal membaca tepat rembatan Norshahrul Idlan daripada penjuru sebelah kiri padang hampir membawa padah apabila bola rembatan Norshahrul Idlan hanya melintasi pintu gol Selangor, namun tiada pemain Kelantan menyempurnakan rembatan tersebut. 

Sementara itu, pada m-37, tindakan pemain tengah Selangor, Mohd Hardi Jaafar mengasari S Chanturu mengundang padah apabila dilayangkan kad kuning oleh pengadil pada perlawanan malam tadi. 

Dua minit selepas itu, giliran Ketua Pasukan Selangor, Mohd Amri Yahyah pula melepaskan peluang terbaiknya apabila rembatannya ditepis Khairul Fahmi sementara S Subramaniam pantas menyepak keluar bola di depan pintu gol bagi menyelamatkan keadaan merbahaya itu. 

Seminit babak kedua bersambung, kesilapan benteng pertahanan Kelantan yang lambat mengeluarkan bola daripada kawasan pintu gol hampir dihukum menerusi rembatan Mohd Amri yang menyaksikan tiang gol menjadi penghalang bagi Selangor untuk menyamakan kedudukan. 

Namun serangan balas pantas Kelantan seminit selepas itu turut hampa apabila rembatan kencang Danial Fadzly daripada luar kotak penalti diselamatkan Saiful Amar digawang golnya. 

Tidak banyak percubaan menarik yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan pada aksi babak kedua, malah kegagalan jentera tengah Kelantan untuk menguasai bola di bahagian tersebut seakan-akan merencatkan corak serangan The Red Warriors untuk menjarakkan kedudukan dalam perlawanan malam tadi. 

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan hadir pada m-62 menerusi rembatan Mohd Nurul Azwan Roya yang menyaksikan Saiful Amar terpaksa melayangkan badannya untuk menepis keluar percubaan tersebut. 

Pada m-67, Selangor sekali lagi kecewa untuk memperoleh gol penyamaan apabila rembatan padu P Gunalan ditepis keluar Khairul Fahmi sementara Mohd Nasriq pula lambat melakukan tindakan susulan apabila dikesan berada dalam kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan. Menyedari jentera serangan Selangor kurang bermaya dalam perlawanan malam tadi, Devan pantas melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan tiga pemain dalam tempoh enam minit pada pertengahan babak kedua bagi menguatkan jentera depan pasukannya. 

Percubaan terakhir Selangor menerusi rembatan kencang pemain gantian, Mohd Fadzli Shaari pada m-86 yang sekadar melintasi pintu gol Kelantan menutup terus peluang Selangor untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Kota Bharu malam tadi. 


KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya (Mohd Izuan Salahuddin), Muhd Badhri Radzi (KP) (Khairan Eruan Razali), Mohd Shakir Shaari, Danial Fadzly Abdullah (Mohd Nizab Ayub), S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha. 

Formasi: 4-3-1-2 

SELANGOR: Saiful Amar Sudar, Mohd Nasriq Baharom, P Gunalan, Mohd Razman Roslan (D Surendran), Yosri Derma Raju, Azidan Sarudin (Mohd Fadzli Shaari), Mohd Hardi Jaafar, Mohd Bunyamin Umar, Mohd Amirulhadi Zainal (Mohd Fitri Shazwan Raduwan), Shafiq Rahim dan Mohd Amri Yahyah (KP). 

Formasi: 4-5-1

Kilang Mesin Taip Terakhir di dunia ditutup

MUMBAI, India - Syarikat Godrej and Boyce yang menjadi pengeluar mesin taip terakhir di dunia terpaksa menghentikan operasinya dan hanya meninggalkan beberapa ratus buah mesin taip dalam stoknya sebelum dijual kepada orang ramai, lapor sebuah akhbar semalam.

Penutupan kilang itu dipercayai akibat permintaan terhadap mesin taip semakin berkurangan sejak 10 tahun lalu selepas orang ramai beralih kepada komputer.

TUGAS mesin taip sudah diambil alih sepenuhnya oleh gajet lebih canggih terutama komputer.

Pengurus Besar Godrej and Boyce, Milind Dukle berkata kepada akhbar tempatan India, Business Standard: "Kami tidak menerima banyak permintaan sekarang. Sejak awal tahun 2000, penggunaan komputer terus mendominasi pengguna di seluruh negara. Semua syarikat yang mengeluarkan mesin taip menghentikan operasi masing-masing kecuali kami.

"Sehingga tahun 2009, kami hanya menghasilkan 10,000 hingga 12,000 mesin taip setahun. Mungkin sekarang adalah waktu terbaik buat pengguna mesin taip untuk mendapatkan produk terakhir kami."

Syarikat itu memulakan perniagaan sejak tahun 1950-an selepas bekas Perdana Menteri, Jawaharlal Nehru menganggap mesin taip sebagai simbol pengembangan kemerdekaan dan industri di India.

Terdapat sebanyak 200 buah mesin taip ada dalam stok syarikat tersebut. Majoritinya terdiri daripada model dengan aksara bahasa Arab.

Pada awal 1990-an, Godrej and Boyce menjual 50,000 unit mesin taip setiap tahun. Tetapi pada tahun lalu, ia hanya dapat menjual 800 unit sahaja. 

Agensi

Kelantan Benam Ego Selangor

PENGGEMPUR berbisa, Norshahrul Idlan Talaha dijulang sebagai wira apabila meledak gol ketika membantu Kelantan membenam pendahulu Liga Super, Selangor 1-0 malam tadi.

Gol menerusi tandukannya seawal minit keempat pada aksi di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu itu sudah cukup untuk Kelantan kembali bangkit menyaingi takhta liga.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Kelantan terus melakukan asakan untuk mendapatkan gol awal dan Norshahrul yang tidak dikawal berjaya menanduk masuk bola menewaskan Saiful Amar Sudar di gawang Selangor.

NORSHAHRUL (kiri) dicabar pertahanan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi. Kelantan menang 1-0.

Segala-galanya berpunca daripada lontaran ke dalam oleh pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin yang ditanduk ke belakang oleh ketua pasukan, Badri Radzi sebelum Norshahrul mudah merobek gawang Selangor untuk gol tunggal perlawanan.

Peluang Selangor hadir pada minit ke-23 menerusi pemain pertahanan, Nasriq Baharom yang menanduk bola hasil sepakan percuma Amri Yahyah, namun sedikit melepasi palang gol.

Selang enam minit kemudian, Norshahrul sekali lagi mencemaskan benteng Selangor apabila rembatannya gagal ditangkap kemas oleh Saiful Amar tetapi bola tersebut bergolek keluar.

Babak kedua perlawanan menyaksikan Selangor bermula garang menerusi rembatan Amri dari penjuru kanan gawang Kelantan yang mengelirukan Khairul Fahmi Che Mat, namun ia sekadar singgah di tiang gol.

Pemain sayap lincah Kelantan, Nurul Azwan Roya turut berpeluang mencatat nama sebagai penjaring, namun rembatannya selepas menerima umpanan Norshahrul dihalang pertahanan Selangor.

Penghujung babak perlawanan, penyerang Selangor, Fadzli Saari mampu mengubah keputusan perlawanan, namun rembatan kencangnya sedikit tersasar.

Kelantan yang 'dibantu' hampir 25,000 penyokong mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mencemar duli menyaksikan perlawanan tersebut.