Friday, November 4, 2011

Mahasiswa Berpolitik: Persepsi ditolak

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menolak persepsi yang mendakwa seluruh kampus universiti akan porak-peranda jika golongan mahasiswa dibenarkan berpolitik.

Beliau menyifatkan persepsi itu sebagai satu mitos semata-mata dan tidak berasas sama sekali "Ramai benar mahasiswa yang saya lihat aktif berpolitik dalam kampus, mereka lulus dengan cemerlang dalam akademik mereka. Malah ada yang mendapat pekerjaan yang baik selepas keluar universiti.


"Tidak semestinya mereka yang tidak berpolitik itu, mereka lulus. Malah ada yang gagal juga,” katanya dalam program bual bicara ”Kerusi Panas” terbitan Bernama Radio24, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin menggesa pihak berkuasa mengkaji punca di sebalik trend sesetengah mahasiswa cenderung bersikap antikerajaan.

"Pernahkah kita bertanya mengapa mahasiswa universiti tidak menyokong pemerintah? Mengapa ada segelintir mahasiswa yang suka melawan?

"Oleh itu, saya sebagai salah seorang anggota kerajaan lebih suka menilai diri saya sendiri apakah wujud kekurangan yang perlu diperbaiki dan bukannya memarahi golongan mahasiswa berkenaan,” katanya. - Bernama

Tuesday, November 1, 2011

Gonzales Dalam Radar Kelantan

TIRAI Piala Malaysia 2011 telah secara rasmi ditutup selepas Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara baharu.

Begitupun, pasukan Kelantan kini sudah memulakan langkah untuk mempersiapkan pasukan itu bagi mengharungi saingan liga dan kejohanan domestik selain membuat penampilan sulung pada kejohanan Piala AFC.

Selepas mencuba lima pemain import dari Croatia, Malawi dan Ghana termasuk seorang pemain dari liga Divisyen Dua Belanda, Jeans Black yang tiba di Kota Bharu bersama jurulatih baharu mereka, Peter James Butler pada 23 Oktober lalu, mereka dijangka akan mencuba seorang lagi pemain import.

GONZALES dilaporkan berada dalam radar KAFA untuk dibawa ke Kelantan bagi aksi musim depan

Kali ini, 'selera' The Red Warriors (TRW) sedikit berubah apabila mereka bakal mencuba bekas pemain kebangsaan Sepanyol yang pernah tersenarai menyertai skuad Piala Dunia 2002 lalu dan pernah beraksi untuk beberapa kelab terkenal di negara yang dikenali dengan jolokan La Furia Roja itu.

Berusia 34 tahun, Sergio Gonzales kini di- khabarkan berada dalam radar Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa untuk dibawa ke negeri 'Cik Siti Wan Kembang' bagi memperkuatkan lagi pasukan itu.

Beraksi di posisi tengah, Gonzales memulakan kerjaya profesional sebagai pemain bola sepak selepas menyertai pasukan Espanyol B pada tahun 1995, sebelum diserapkan ke pasukan senior tiga tahun kemudian.

Bakat pemain dengan ketinggian 182 sentimeter berasal dari L'Hospitalet, Sepanyol itu mula dikesan oleh pasukan Depor- tivo La Caruna yang mana dia menabur khid- mat selama 10 musim.

Sumber KAFA memberitahu, nama pemain itu pernah disebut-sebut sebelum ini dalam perjumpaan pihak pengurusan tetapi sehingga kini belum ada surat tawaran rasmi dikeluarkan.

Menurutnya, perbincangan secara tidak rasmi sedang berjalan ketika ini antara pemain tersebut dan pihak pengurusan untuk mencari kata putus selain persetujuan pemain itu untuk berhijrah ke Kelantan.

"Setakat ini belum ada apa-apa tawaran rasmi diberikan kepada pemain tersebut dan sehingga kini ia masih dalam perbincangan melibatkan beberapa perkara lagi.

"Sekiranya selesai dan berjaya mencapai kata sepakat, mungkin impian untuk melihat pemain itu beraksi dengan TRW akan tercapai," katanya.

Gonzales dikenali sebagai pemain tengah yang sentiasa bekerja keras serta mampu bertindak membantu pertahanan, selain kreatif dalam menghasilkan gerakan membantu jentera hadapan.

Sepanjang 14 musim bermain dalam kempen Liga Sepanyol, dia telah beraksi dalam 429 perlawanan dan berjaya meledakkan 42 gol, termasuk tiga gol ketika bersama pasukan terakhirnya, Levente bagi musim 2010-2011.

Karier peringkat antarabangsa Gonzales bermula ketika dipanggil oleh jurulatih Sepa- nyol ketika itu, Jose Antonio Camacho untuk mewakili pasukan kebangsaan pada 2001 bagi persiapan Piala Dunia 2002.