Saturday, August 7, 2010

Perisik Menggoda, Porno Menjengah

ANDAINYA pertembungan kisah dua ejen perisik Rusia ini satu kebetulan, ia sememangnya satu titik pertemuan yang sungguh klasik. Anna Chapman dan Evelyn Salt berkongsi banyak persamaan.

Mereka adalah ejen perisik wanita yang menyamar di Amerika Syarikat (AS), sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan maklumat untuk Rusia, berkahwin, popular selepas diberkas pihak berkuasa AS dan mempunyai tubuh yang menggiurkan.

Jika Anna Chapman adalah watak seorang gadis yang hidup dalam dunia realiti, Evelyn Salt pula adalah wanita berbibir mungil yang beraksi di layar perak. Watak Salt dijayakan oleh Angelina Jolie.

Pertembungan kisah itu tepat pada waktunya ketika filem Salt ditayangkan di pawagam di seluruh dunia. Ia bukan sahaja melonjakkan filem tersebut dengan kutipan luar biasa iaitu AS$36.5 milion (RM116 juta) selepas dua hari selepas ditayangkan, bahkan turut membuat seluruh dunia tiba-tiba dahagakan kisah sebenar kehidupan perisik wanita Rusia.

Dengan reputasi foto-foto ghairahnya di laman sosial Facebook, kisah Anna atau nama sebenarnya Anna Kushchenko bak pisang goreng panas di dada-dada akhbar, televisyen dan Internet.

Dipercayai antara perisik Rusia yang mempunyai pengaruh kuat dalam Commitee for State Security (KGB), wanita berusia 28 tahun itu didakwa menggunakan kejelitaan dan tubuhnya untuk menggoda pegawai atasan AS dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan situasi politik dan tenaga nuklear negara Uncle Sam itu.

Bagaimanapun identiti wanita yang juga digelar perisik berambut merah itu terbongkar selepas dia ditahan di sebuah restoran di New York pada 27 Jun lalu oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Bersamanya, terdapat sembilan suspek yang lain. Mereka terdiri daripada Mikhail Semenko, Richard Murphy dan isterinya, Cynthia Murphy; pasangan Michael Zottoli dan Patricia Mills; pasangan Donald Howard Heathfield dan Tracey Lee Ann Foley selain seorang profesor, Juan Lazaro.

Mengaku bersalah

Suspek ke-11, Christopher Metsos yang dinamakan sebagai perancang rangkaian perisikan tersebut, berjaya ditahan semula dalam satu operasi besar-besaran di Lapangan Terbang Larnaca, Cyprus. Sementara itu, suspek terakhir yang ditahan dikenali sebagai Alexey Karetniko.

Ketika dibicarakan di sebuah Mahkamah Persekutuan New York, semua suspek mengaku bersalah atas tuduhan menjadi ejen rahsia bagi Moscow. Mahkamah memerintahkan kesemuanya diusir serta-merta dari AS.

Sebagai balasan, kerajaan Rusia turut membebaskan empat pengintip Barat yang ditahan sebelum ini. Ia merupakan operasi pertukaran perisik terbesar sejak era Perang Dingin.

Dilahirkan pada era Kesatuan Soviet (USSR) di wilayah Karkov, Ukraine dan dibesarkan di bandar Volgograd, Rusia, Anna ternyata memiliki aura yang tersendiri.

Memiliki sarjana ekonomi di People’s Friendship University of Rusia di Moscow, sebuah institusi pengajian tinggi yang telah lama mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Kesatuan Soviet, KGB, Anna berpindah ke London pada tahun 2001.

Dia pernah bekerja di beberapa buah syarikat termasuk perkhidmatan penerbangan NetJets iaitu sebuah syarikat di Eropah yang menjual penerbangan mewah bagi golongan kaya dan terkenal.

Pada satu majlis, Anna bertemu dengan seorang lelaki Britain, Alex Chapman dan berkahwin lima bulan kemudian. Ketika itu, Alex berumur 21 tahun dan Anna 19 tahun. Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada tahun 2005.

SAAT bahagia Anna bersama bekas suaminya, Alex Chapman.


Menurut Alex, penangkapan bekas isterinya itu bukannya berita yang mengejutkan jika dilihat kepada perubahan hidupnya.

Tawaran filem porno

“Pada detik-detik terakhir perkahwinan kami, Anna menjalani kehidupan yang penuh rahsia, bermesyuarat dengan rakan-rakan di Rusia dan saya menganggap ia mungkin berlaku kerana dia mempunyai hubungan dengan pemerintah Rusia,” kata lelaki berusia 30 tahun itu.

Selepas bercerai, Anna berpindah ke AS atas alasan mahu mengembangkan perniagaannya. Dia memiliki sebuah pangsapuri mewah di New York dan menguruskan sebuah agensi hartanah antarabangsa yang berjaya di Internet.

Sejak itu Anna menunjukkan sisi seorang penggoda Rusia ke mata dunia. Anna menggunakan rupa parasnya untuk mengorek rahsia AS.

Selepas ditahan, kisah perisik yang dengan tubuhnya yang menggoda terus menjadi perbualan. Apabila seorang wanita misteri berstatus perisik bersatu dengan rupa paras menggiurkan, ia melonjakkan keghairahan ramai lelaki.

Justeru, tidak hairanlah apabila Anna menerima undangan sebuah syarikat penerbitan filem porno AS, Vivid Entertainment untuk beraksi dalam sebuah filem lucahnya. Dalam sepucuk surat kepada peguam Anna, Robert Baum, Presiden Vivid, Steven Hirsch berkata, dia mahu wanita berambut merah itu membintangi filem keluaran Vivid.

“Anna merupakan pengintip paling mengghairahkan yang pernah kami lihat sebelum ini dan dia amat diminati media. Walaupun dia kurang berjaya sebagai seorang perisik, kami percaya dia boleh menjadi seorang aktres porno hebat dalam filem kami,” kata Hirsch.

Enggan membiarkan Vivid mengaut keuntungan daripada populariti Anna, majalah lucah, Playboy juga turut menunjukkan minat yang sama. Majalah yang pernah memasyhurkan selebriti seperti Pamela Anderson, Anna Nicole Smith, Carmen Electra, Paris Hilton dan Kim Kardashian sebagai muka depannya, dikatakan menawarkan Anna dengan bayaran lumayan.

Sementelah khabar angin bertiup kencang bahawa Anna kini dalam keadaan terdesak dari segi kewangan apabila kehilangan sumber pendapatan, beberapa media antarabangsa mendedahkan Anna bersedia menerima tawaran Playboy sekiranya ditawarkan bayaran sebanyak AS$250,000 (RM791,876).

Satu sumber memberitahu: “Anna menolak tawaran Vivid, namun jika Playboy mahu membayar sejumlah wang yang dimintanya, Anna mungkin akan beraksi untuk majalah itu.

“Anna terpaksa meninggalkan bisnes hartanahnya, selain tidak lagi menerima gaji daripada kerajaan Rusia. Perjanjian melalui media yang kemudian menggunakan akaun Bank Swiss adalah cara terbaik untuk Anna mendapatkan wang.”
Teman sosial
KEJELITAAN Anna dan penyebaran foto-foto ghairahnya menjadi topik utama akhbar-akhbar.


Apatah lagi, dengan beberapa orang teman sosial lelaki Anna menceritakan pengalaman dan kehebatan Anna di ranjang, ia dijangka mampu melonjakkan jualan Playboy yang kini mencecah sekitar tiga juta edaran di seluruh dunia.

Salah seorang pelajar Universiti di Southampton, Charlie Hutchinson, 31, antara lelaki yang mengakui pernah berasmara bersama Anna.

Pelajar jurusan undang-undang itu menceritakan pertemuannya dengan Anna di sebuah pub, White House dan semasa dia mahu pulang ke asrama universiti, tiba-tiba Anna menaiki teksinya.

“Kami mabuk. Apabila dia memasuki bilik saya, Anna mula menari tarian bogel dan saya berada di atas katil. Dia mempunyai tubuh yang amat menarik dan tidak memakai seluar dalam. Dia tahu apa yang dilakukannya,” kata pelajar itu.

Seorang lelaki lain yang pernah menjalin hubungan dengan Anna ialah Marcus Read, seorang peminat seni dari Britain.

Berkenalan di sebuah kelab malam di Harare, Zimbabwe pada tahun 2001, Marcus berkata, di terpesona dengan kecantikan Anna dan mengaku pernah menjalinkan hubungan intim semasa mereka di sana.

“Kami duduk dekat kolam dan berbual selama berjam-jam, kemudian berkongsi ciuman penuh ghairah. Kami bertukar nombor dan berjanji saling berhubung ketika saya pulang keesokan harinya,” katanya yang menyifatkan wanita itu agak misteri.

Biarpun dianggap sebagai pengkhianat di AS, namun Anna dikatakan mempunyai peluang politik yang cerah di Rusia. Dia dijulang sebagai wira di bandar kelahirannya.

Parti Belia yang disokong Kremlin meminta Datuk Bandar memberi penghargaan kepada Anna sebagai seorang warganegara yang wajar dihormati.

Mendalami kehidupan seorang perisik wanita dari kaca mata perisik negara, berkesempatan menemu bual seorang bekas ahli perisik Malaysia yang dirahsiakan namanya.

Menurut pegawai itu, perisik wanita lebih mudah mendapat maklumat dan mudah dipercayai oleh musuh kerana dilihat tidak merbahaya. Apatah lagi, instrumen seperti wajah, tubuh badan dan seks adalah satu kelebihan.

Mengakui Malaysia juga mempunyai perisik wanita tetapi tidaklah seperti di Barat disebabkan faktor agama dan batas ketimuran.

Bagaimanapun katanya, KGB sememangnya melatih perisik wanita muda terutamanya anak-anak yatim dan kanak-kanak jalanan sebagai ejen mereka.