Wednesday, June 2, 2010

Israel Sumbat Aktivis Dalam Penjara


GAMBAR menunjukkan sebuah penjara yang terletak di bandar Beersheba, selatan Israel yang menempatkan aktivis Gaza yang ditawan rejim Israel kelmarin.


Seramai 610 aktivis asing yang ditangkap kerana menyertai konvoi kapal perang dalam armada kecil dikenali sebagai Flotila Kebebasan Gaza kini ditahan di sebuah penjara di selatan Israel, kata seorang jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel semalam.

Seramai 45 aktivis lagi yang mengikuti konvoi enam kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza itu telah diusir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, Israel.

Dalam konvoi itu, seramai 18 warga Malaysia turut menaiki dua buah kapal penghantar bantuan tersebut sebelum mereka ditangkap dalam serbuan komando-komando Israel pada awal pagi kelmarin di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean.

Jurucakap perkhidmatan penjara itu berkata, semua tahanan asing itu berada dalam keadaan baik dan mereka ditempatkan di dalam lokap yang boleh menempatkan dua atau empat orang tahanan.

INFOGRAFIK menunjukkan lokasi kapal Mavi Marmara yang diserang komando Israel kelmarin.


Aktivis-aktivis itu ditahan di sebuah penjara jenayah baru yang baru dibuka sejak 11 hari lalu di bandar Barsheeba, selatan Israel yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan sehingga 800 banduan.

Kebanyakan aktivis yang tiba pada lewat kelmarin dan pagi semalam tidak membawa sebarang barangan milik peribadi.

Aktivis-aktivis itu diberikan pakaian dalam, alat kelengkapan dandanan diri, selipar, selimut dan makanan.