Sunday, November 28, 2010

Khazanah Uranium

NUKLEAR sering diberikan konotasi negatif. Kita menggambarkan kemusnahan dan peperangan. Minda pantas berimaginasi letupan besar yang meranapkan sebuah kota besar sehingga ia menjadi padang jarak padang tekukur. Mayat-mayat tak berdosa yang bergelimpangan bagai daun di makan ulat.
Peristiwa bom atom yang digugurkan di Hiroshima, Jepun pada tahun 1945 lazim menjadi rujukan.
Penerima-penerima Anugerah Nobel Keamanan semasa berhimpun dalam satu upacara memperingati mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi pengeboman Hiroshima 14 November lalu juga melaungkan ritma negatif tentangnya: “Tolak senjata nuklear.”
Selain malapetaka di Hiroshima, insiden kebocoran reaktor nuklear di Three Mile Islands, Amerika Syarikat (AS) pada 1979, Chernobyl, Ukraine (1986) dan Tokai Mura, Jepun (1999) bagai menghitamkan lagi noda nuklear. Peristiwa Chernobyl menyaksikan seramai 350,400 orang yang mendiami kawasan berhampiran reaktor nuklear itu terpaksa dipindahkan dari kawasan yang tercemar dengan sinar radioaktif.
Tenaga
Pejuang kedamaian, aktivis pengguna dan pencinta alam antara pihak yang menzahirkan penolakan atau kekhuatiran terhadap nuklear.
Reaksi global terhadap nuklear membuatkan kita di negara ini melihatnya sebagai satu yang berbahaya secara total. Kenyataannya begitukah?
Adakah ia hanya berkenaan senjata perang dan tidak mampu menawarkan manfaat?
Nuklear berasaskan uranium seperti juga galian-galian lain yang sebenarnya boleh membawa kebaikan tetapi disalahgunakan untuk tujuan kemusnahan. Nuklear yang merujuk kepada inti atau nukleus atom mampu menjana tenaga dan barang kali salah satu penyelesian kepada masalah umat manusia apabila sumber utama tenaga elektrik terutama bahan api fosil seperti petroleum dijangka habis satu hari nanti.
Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Jepun dan Korea Selatan ialah model negara yang berjaya dalam penggunaan nuklear sebagai sumber tenaga elektrik. Kaedah loji jana kuasa nuklear yang bertindak dengan pembelahan nukleus Uranium U-235 dapat menghasilkan tenaga haba untuk mendidihkan air menjadi wap dan seterusnya memutarkan turbin menjana elektrik.
GAMBAR menunjukkan keadaan di dalam satu terowong pembelahan atom di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN), Switzerland.


Ironinya, Jepun yang pernah lumpuh akibat bom atom banyak bergantung kepada loji jana kuasa nuklear. Begitu juga dengan Korea Selatan. Sebelum penggunaan tenaga nuklear pada 1951, pendapatan Keluaran Dalam Negara (GNP ) negara itu berada pada tangga ke-159 dunia namun ia melonjak ke kedudukan 17 pada 1997.
Lebih menarik, kos bayaran tenaga elektrik di Korea dan Jepun yang menggunakan teknologi nuklear tidak pernah berubah sejak 30 tahun lalu.
Menjelaskan dengan terperinci mengenai nuklear, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Teknikal Agensi Nuklear Malaysia (Nuclear Malaysia), Dr. Muhd. Nur Muhd. Yunus memberitahu, tenaga nuklear mampu menjana ekonomi negara.
Ketam bersaiz besar
“Jepun yang memulakan loji jana kuasa nuklear sejurus selepas Perang Dunia Kedua mampu menjadi negara maju. Malah, sebuah loji jana kuasa nuklear yang terdapat di Mihama, Jepun menjadikan daerah itu maju dengan industri pelancongan perikanan,” katanya sambil memberitahu terdapat 14 stesen jana kuasa nuklear di Jepun.
Tambahnya, loji jana kuasa nuklear itu menyebabkan Mihama menjadi kawasan teluk dan secara geografinya menjadikan kawasan itu dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan selain hidupan marin lain. Bilangan penduduk juga bertambah manakala hotel dan resort berkembang dengan pantas. Kawasan itu terkenal dengan ketam bersaiz besar.
“Lebih mengejutkan, penduduk di situ mempunyai jangka hayat kedua terpanjang di Jepun di sebalik dakwaan loji jana kuasa nuklear menyebabkan penduduk sekitar loji itu pendek umur,” katanya.
Tenaga murah
Muhd. Nur menjelaskan, tenaga nuklear tidak berbahaya selain menjimatkan khususnya untuk penghasilan tenaga elektrik. Menceritakan kelebihan tenaga nuklear untuk menjana elektrik berbanding kaedah lain, Muhd. Nur memberitahu, secara relatifnya ia lebih murah.
WUJUDNYA stesen jana kuasa nuklear di Mihama, Jepun menjadikan daerah itu maju dengan industri pelancongan perikanan.


“Kosnya hanya sebanyak 20 sen bagi satu kilowatt jam berbanding kaedah fosil atau hidro. Import elektrik dari Bakun melalui kabel bawah laut dianggarkan pada 21 hingga 36 sen kWj (tanpa subsidi kerajaan),” ujarnya.
Tambah Muhd. Nur, di sebalik retorik tenaga nuklear mengeluarkan gas rumah hijau, tenaga itu sebenarnya mengeluarkan terlalu sedikit gas rumah hijau berbanding teknologi lain.
Tambahnya, hasil buangan sisa nuklear lebih sedikit berbanding jana kuasa elektrik konvensional.
“Keseluruhan rantaian bagi penjanaan kuasa nuklear hanya menghasilkan 1 hingga 6 gram karbon bagi setiap kilowatt jam elektrik yang dijana. Sedangkan rantaian penjanaan elektrik berasaskan minyak, arang batu atau gas asli menghasilkan sehingga 60 hingga 460 gram karbon dikeluarkan walaupun jana kuasa dilengkapi kemudahan pengurangan karbon,” katanya.
Menjelaskan keistimewaan nuklear dari sudut teknologi, Muhd. Nur menjelaskan kapal selam yang menggunakan tenaga nuklear mampu bertahan sehingga 18 bulan. Di Emiryah Arab Bersatu (UAE), pihak berkuasa negara itu sedang giat mengkaji tenaga nuklear untuk menyuling air laut.
“Mereka menubuhkan universiti khusus untuk kajian tersebut selain melakukan kajian terhadap air laut yang digunakan oleh rektor nuklear boleh dijadikan air minuman,” katanya.
Muhd. Nur memberitahu, Malaysia sedang menuju untuk memiliki stesen jana kuasa nuklear untuk menjana elektrik pada 2021.
BANDAR Hiroshima musnah akibat ledakan bom atom pada 1945 tetapi Jepun maju akibat teknologi nuklear.


“Kajian dilakukan secara serius sejak 2005 tetapi orang awam perlu menyokongnya. Jika semuanya berjalan dengan baik kita boleh merealisasikannya lebih awal,” katanya.
Relatifnya, negara memerlukan empat hingga enam peratus sumber nuklear peringkat awal dengan kos lebih RM4 billion untuk loji berkuasa 1,000 MW.
“Vietnam yang masih mundur kini sudah mendahului kita dari segi persiapan ke arah pembinaan loji nuklear dengan merancang membina 13 loji nuklear,” ujarnya.
Karbon dioksida
Profesor di Jabatan Nuklear dan Kejuruteraan Kuantum, Institut Termaju Sains dan Teknologi Korea (KAIST), Jong H Kim memberitahu, dunia kini menghadapi masalah tenaga, persekitaran dan ekonomi manakala pengeluaran karbon dioksida yang banyak menjejaskan kesihatan selain pengurangan sumber fosil seperti minyak, arang batu dan gas asli.
“Di sebalik itu, satu kilogram (kg) uranium mampu menjana tenaga elektrik bersamaan dengan 9,000 tong minyak atau 3,000 tan arang,” katanya.
Ujarnya lagi, simpanan minyak hanya terhad untuk 42 tahun, gas asli 60 tahun, arang batu 133 tahun tetapi uranium untuk menghasilkan elektrik mampu bertahan sehingga 241 tahun.
“Malah, teknologi nuklear juga merangsang teknologi baru yang lain dan berkeupayaan tinggi.,” katanya.

Friday, November 5, 2010

Gambar hiasan.


Sebuah pesawat gergasi Airbus A380 milik syarikat Qantas Airways dari Australia yang membawa 459 orang termasuk 26 krew mendarat cemas di sini semalam selepas sebuah enjinnya meletup menyebabkan bingkai enjinnya berkecai di udara.
Insiden semalam adalah paling serius membabitkan pesawat Airbus A380 sepanjang tiga tahun sejarah penerbangannya.
Pesawat Airbus A380 yang turut dikenali dengan gelaran Superjumbo memiliki empat enjin dan merupakan pesawat penumpang terbesar, paling senyap dan paling mesra alam di dunia.
"Sebelum ini, beberapa insiden kecil melibatkan enjin Airbus A380 pernah berlaku tetapi tiada satu pun yang serius seperti ini," kata seorang pakar penerbangan, Tom Ballantyne.
Syarikat Qantas pula memiliki rekod penerbangan paling selamat di dunia tanpa nahas udara yang meragut nyawa sepanjang 90 tahun ia beroperasi.
Namun, pada pukul 11.46 pagi waktu tempatan semalam, pesawat dua tingkat milik Qantas itu terpaksa mendarat cemas.
Juruterbang membuat keputusan untuk membuat pendaratan cemas selepas sebuah enjin di sayap kiri pesawat itu terbakar 15 minit selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 9.56 minit pagi.
Pesawat berkenaan berlepas dari London dan singgah di Singapura semasa dalam penerbangan menuju ke Sydney, Australia.
Beberapa saksi berkata, mereka terdengar letupan kuat di udara dan melihat serpihan-serpihan logam terjatuh ketika pesawat itu mengalami masalah enjin di pulau Batam yang terletak dekat dengan Singapura.
Serpihan-serpihan bingkai itu termasuk sekeping serpihan dengan sebahagian lambang kanggaru terbang terhempas di sebuah kawasan perumahan dan industri di Batam.
"Saya tidak melihat pesawat terhempas tetapi saya terdengar satu letupan kuat di udara. Selepas itu, serpihan-serpihan logam menjunam dari udara dan terhempas di sebuah kawasan industri di Batam," kata seorang saksi, Noor Kanwa.
Seorang lagi saksi berkata, berpuluh-puluh penduduk Batam keluar dari rumah mereka dan melihat pesawat itu berlegar-legar di udara untuk membuang minyak sebelum cuba mendarat.
Beberapa laporan awal media menyatakan, pesawat itu terhempas selepas meletup di ruang udara Batam.
Namun, laporan tersebut kemudian disangkal oleh pihak pengurusan Qantas Airways yang mengeluarkan kenyataan bahawa penerbangan itu terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura selepas mengalami masalah enjin tanpa mengulas lanjut.
Dalam satu wawancara telefon dengan seorang penumpang, Ulf Waschbusch berkata, dia terdengar bunyi letupan di udara dan melihat sayap Qantas A380 terbakar sejurus selepas ia berlepas.
"Kami mendengar bunyi letupan, saya melihat satu kebakaran kecil berlaku pada sayap kirinya," kata Waschbusch yang berasal dari Jerman.
"Sayap kiri pesawat itu pecah sedikit," tambah penumpang itu yang bekerja di sebuah syarikat teknologi di Singapura dan menuju ke Sydney untuk melancong.
Menurutnya, juruterbang kemudian mengumumkan bahawa pesawat tersebut akan membuang minyak sebagai persiapan untuk melakukan pendaratan cemas.
"Kami berlegar-legar di ruang udara Batam selama hampir dua jam untuk membuang minyak," katanya.
"Tanpa diduga, semua penumpang berada dalam keadaan tenang. Kami langsung tidak menjerit," jelas Waschbusch.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pegawai Australia memberitahu, tiada penumpang atau krew pesawat itu yang cedera dalam kejadian tersebut.
GAMBAR menunjukkan bingkai enjin Qantas yang berkecai.


Namun, penumpang-penumpang ditawarkan sesi kaunseling selepas insiden tersebut.
Ekoran kejadian itu, pihak Qantas Airways membuat keputusan menggantung penerbangan semua enam pesawat Airbus A380 miliknya sehingga satu siasatan menyeluruh dijalankan.
Siasatan menyeluruh itu akan turut melibatkan agensi siasatan nahas udara Perancis (BEA).
Seorang jurucakap BEA menyatakan, sebuah enjin pesawat itu mengalami kerosakan serius.
"Apa yang kami tahu buat masa sekarang ialah bingkai bahagian belakang enjin tersebut hilang. Terdapat kerosakan pada bahagian belakang motor jet yang membawa masalah yang serius," katanya di Paris.
Pada masa ini terdapat 37 pesawat Airbus A380 yang beroperasi di seluruh dunia. Sebuah pesawat itu berharga dari AS$346.3 juta (RM1 bilion). 
Sumber: Agensi

Tuesday, November 2, 2010

Kelantan Bolot Anugerah FAM

Reputasi juara Piala Malaysia musim ini, Kelantan sebagai kuasa baru bola sepak tanah air semakin kukuh apabila mendominasi empat daripada sembilan kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2010 100Plus-FAM.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha paling mencuri tumpuan selepas dinobatkan Pemain Paling Bernilai 2010 selain turut merangkul penyerang terbaik menewaskan pencabar terdekat yang merupakan penjaring gol terbanyak Liga Super, Mohamad Ashaari Samsudin dari Terengganu.

Anak jati Besut, Terengganu itu berjaya meraih RM 3,000 selaku Pemain Paling Bernilai dan RM500 untuk kategori penyerang terbaik selain menerima trofi daripada 100Plus selaku penaja utama.

Selain Norshahrul, Kelantan turut berbangga apabila penjaga golnya, Khairul Fahmi Che Mat diangkat sebagai pemenang dalam dua kategori iaitu penjaga gol terbaik dan pemain muda terbaik.

Mastermind Kelantan, B. Sathianathan melengkapkan penguasaan skuad The Red Warriors selepas dinobatkan sebagai jurulatih terbaik mengatasi K. Devan, E. Elavarasan, Gary Phillip dan Ahmad Yusoff.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd, James Teo dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Hamidin Mohd.Amin.