Thursday, July 22, 2010

Misteri Penguin Mati


SEORANG lelaki memegang bangkai penguin di pantai Peruibe, Sao Paulo pada Sabtu lalu.GAMBAR KECIL: Bangkai penguin ditemui di pantai Peruibe, Sao Paulo pada Sabtu lalu.


Sejumlah 500 ekor bangkai penguin ditemui terdampar di pantai Brazil sejak 11 hari lalu, kata seorang pakar biologi di Akuarium Peruibe, Thiago do Nascimento.

Sebahagian besar daripada haiwan jenis Magellan itu datangnya dari Argentina, Chile dan Pulau Falklands yang berhijrah untuk mencari makanan mati akibat kelaparan.

Nascimento berkata, bedah siasat terhadap beberapa penguin itu mendapati perut mereka kosong tanpa makanan.

Namun, saintis-saintis masih menyiasat sama ada cuaca sejuk atau aktiviti manusia sebagai punca kematian.

Katanya, memang menjadi kelaziman pada waktu ini apabila penguin berenang untuk berhijrah ke bahagian utara dan malangnya ada sebilangan kecil yang akan maut akibat kelaparan atau kepenatan.

"Namun, kali ini jumlah yang mati amat besar," kata Nascimento. 

Sumber: AP

Sunday, July 18, 2010

Haram Pakai Jersi Lambang Salib


NOOH GADOT

Pemakaian jersi bola sepak atau sebarang pakaian yang memiliki lambang salib, jenama arak dan imej syaitan adalah haram hukumnya dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, perkara tersebut ditegah oleh Islam dan perbuatan mengabaikan hukum yang sudah jelas boleh membawa umat Islam ke arah syirik.

Beliau berkata, memakai baju seperti itu walau apapun alasannya menunjukkan umat Islam seolah-olah mengagung-agungkan dan memuliakan lambang agama lain.

“Semua mengetahui hukum ini dengan jelas, ia adalah haram dan jangan beri alasan untuk menghalalkan perkara tersebut.

“Dalam hal ini, Islam tidak ada kompromi sama ada ia dibuat atas nama hiburan, fesyen mahupun sukan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Beliau mengulas trend menyarung jersi di kalangan remaja dan golongan dewasa masa kini yang secara terang-terangan memiliki lambang salib atau jenama arak di baju mereka.

Trend itu sudah agak lama berlaku di negara ini namun semakin popular semenjak demam Piala Dunia melanda bermula awal tahun ini.

Antara jersi pasukan negara atau kelab yang tertera lambang salib atau imej syaitan adalah Brazil, Portugal, Sweden dan Norway, Manchester United dan Barcelona.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata, perbuatan memakai baju seperti itu hanya menjurus ke arah dosa dan boleh mengakibatkan syirik kepada Allah.

Jelasnya, pakaian yang mempamerkan lambang agama lain mahupun mempunyai imej syaitan dan jenama arak dilihat seperti mengangkat martabat lambang itu lebih tinggi berbanding Islam.

Menurut Harussani, Islam tidak menghalang umatnya untuk berfesyen atau bersukan namun ia perlu dilakukan dalam ruang lingkup syarak seperti menutup aurat dan tidak membazir.

Tuesday, July 13, 2010

Pengawal Peribadi Tony Blair Bernilai RM1.2 juta




Satu siasatan sebuah akhbar di Britain mendapati pembayar cukai di negara itu membelanjakan lebih £250,000 (RM1.2 juta) bagi membiayai kos pengawal dan anggota polis bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair (gambar), lapor akhbar Mail On Sunday semalam.

Menurut akhbar itu, pengawal-pengawal tersebut mengikuti Blair ke luar negara semasa harta kekayaannya bertambah kepada £20 juta (RM96.41 juta) selain meneruskan peranannya sebagai perundingan keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada minggu lalu, pejabat Blair menolak desakan supaya dia membiayai kos pengawal bersenjata itu.

Kakitangan pejabat itu berhujah bahawa bekas Perdana Menteri tersebut menghabiskan kebanyakan masanya melakukan kerja-kerja kebajikan yang tidak dibayar selain berusaha mencari perdamaian di Asia Barat.

Blair menghabiskan masa kira-kira lapan bulan berada di luar Britain.

Bekas Perdana Menteri itu menjadi terkenal selepas beliau bersetuju untuk melakukan serangan bagi menggulingkan Saddam Hussein sebagai Presiden Iraq pada 2003.

Serangan itu dibuat atas alasan Iraq di bawah pimpinan Saddam memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

Menurut akhbar itu, Blair dibayar £2 juta (RM9.64 juta) setahun sebagai penasihat Bank JP Morgan dengan menawarkan nasihat strategik global.

Semasa lawatan selama enam malam di New York pada September lalu, pengawal-pengawal peribadinya dibayar lebih £465 (RM2,241) satu malam untuk tinggal di sebuah hotel lima bintang di Madison Avenue.

Blair turut dibayar untuk membantu dana pelaburan Abu Dhabi, Mubadala.

Kos untuk pengawal-pengawal peribadinya selama dua malam di Hotel Emirates Palace di Abu Dhabi melibatkan lebih £850 (RM4,097) dengan satu cawan cappuccino dan kek tradisi England berharga £11.69 (RM56.35).

Menurut akhbar itu, adalah sukar untuk membezakan kerja-kerja kebajikan dengan percutian.

Blair didakwa mengendalikan Yayasan Kepercayaan dan Inisiatif Pentadbiran Afrika yang cuba untuk menamatkan amalan rasuah di Rwanda serta Sierra Leone.

Pada hujung tahun lalu, bekas Perdana Menteri itu menemui Menteri Pendidikan pada waktu pagi untuk mempromosikan kerja-kerja kebajikan dan kemudian Menteri Kewangan pada waktu tengah hari bagi pihak Bank JP Morgan di Abu Dhabi.

Menurut akhbar tersebut, bukti daripada perbelanjaan Blair menunjukkan beliau melakukan lima percutian mewah pada tahun lalu termasuk bermalam enam hari di lokasi peribadi milik bilionair Britian, Sir Richard Branson di Afrika Selatan.

Sumber: Agensi

Thursday, July 8, 2010

Nafsu Seks Wanita Lebih Tinggi Dipertengahan Usia


Satu kajian terbaru di Amerika Syarikat (AS) mendapati wanita suka menikmati seks semasa usia mereka menghampiri 40 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan ahli akademik Universiti Texas itu menyatakan nafsu seks wanita lebih tinggi pada peringkat usia 30-an dan awal 40-an disebabkan faktor psikologi.

Pada usia tersebut, wanita menyedari mereka semakin menghampiri menopaus yang mengurangkan tahap kesuburan dan peluang mendapatkan anak sekali gus menyebabkan keinginan seks mereka meningkat.

Kajian berbentuk kaji selidik itu melibatkan hampir 900 wanita yang dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu responden dengan kesuburan tertinggi (berusia 19 tahun hingga 26 tahun), mereka yang tahap kesuburannya menurun (berusia di antara 27 tahun hingga 45 tahun) dan golongan yang menghampiri atau telah mengalami menopaus.

“Hasil kajian menunjukkan wanita dengan tahap kesuburan menurun sebenarnya memiliki keinginan seks yang lebih tinggi dan lebih aktif melakukan hubunganseks berbanding wanita subur,” kata seorang penyelidik berkenaan, Profesor David Buss.

Menurutnya, wanita pertengahan usia juga lebih kerap berfantasi mengenai seks berbanding wanita muda di samping lebih cenderung menjalin hubungan sulit terutamanya dengan lelaki lebih muda.

“Saya kerap mendapati wanita berusia lewat 30-an lebih gemar

‘berseronok’ (terbabit dalam aktiviti seks). Mungkin keadaan ini berlaku tanpa disedari mereka atau mereka sedar mengenainya,” kata seorang pakar seks, Dr. Pam Spurr.

Sumber: Agensi

Wednesday, July 7, 2010

Myvi Khas Wanita


Model terbaru edisi khas Myvi bersesuaian untuk pemandu wanita yang memiliki ciri-ciri yang disenangi kumpulan itu mula berada di pasaran mulai hari ini.


Memiliki kereta yang sinonim dengan perwatakan wanita menjadi impian pemandu wanita di negara ini, tetapi tidak banyak syarikat pengeluar kereta yang memberi tumpuan untuk memperkenalkan model kereta bersesuaian untuk kumpulan berkenaan.

Kini, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengambil inisiatif dengan memperkenalkan model terbaru 1.3L Myvi (Mvvi LE) edisi terhad yang memiliki ciri-ciri sporty tetapi bergaya bersesuaian untuk pemandu wanita.

Pengarah Urusan Perodua, Aminar Rashid Salleh berkata, model itu dikeluarkan khas untuk memenuhi permintaan dan cita rasa golongan muda dan wanita bandar.

Selain warna yang menarik, ia turut menampilkan beberapa ciri yang bersesuaian dengan keperluan kumpulan berkenaan.

"Kami memahami keperluan dan pentingnya bagi mereka (wanita muda dan wanita bandar) untuk mempunyai cermin solek dalam kereta.

"Oleh itu, kami menyediakan sekali cermin itu di bahagian sisi bahagian pemandu dalam model kali ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.