Saturday, May 29, 2010

Burung Tahu Kasih Sayang, Manusia?

Mungkin ramai dah lihat, sekadar berkongsi buat peringatan untuk semua.



Gambar yang diambil oleh seorang jurufoto yang telah melariskan jualan akhbar di Perancis pada hari ia disiarkan. Di sinilah pasangan (isteri? suami?) kepada burung layang-layang ini terlantar antara hidup atau mati, kerana dilanggar oleh kereta ketika terbang rendah.


Di sinilah ia menghantarkan makanan kepada pasangannya itu, dan menemaninya dengan penuh setia dan kasih sayang..



Sekali lagi ia terbang dan datang membawakan makanan, namun ia sangat terkejut apabila mendapati pasangannya telah mati.. Ia cuba menggerak-gerakkan pasangannya itu, satu keadaan yang jarang dilihat bagi burung atau binatang sepertinya..



Menyedari pasangannya sudah tidak bergerak, dan tidak akan kembali lagi kepadanya, ia mengeluarkan bunyi seolah-olah sedang menangisi pemergian itu dengan hiba..




Berdiri di sisi pasangannya yang sudah tidak bernyawa, merasa sedih dengan pemergian itu..





Dan akhirnya menerima hakikat bahawa pasangannya itu telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya, Hidup menjadi sepi...



Begitulah kasih sayang yang Allah ciptakan antara sesama makhluk Nya..

Manusia bagaimana?

Pastinya burung yg ditinggalkan pasangan ... hidup menjadi sepi...

kita manusia..... ???


Manusia sering meninggalkan teman atau kawan ketika susah tetapi igtlah apa yg dilakukan oleh manusia tersebut akan dibalas Allah Taala jgk.

.

Bagi yg berkawan, berkawanlah dengan penuh kerelaan dan keikhlasan.. serta igtlah bahawa Allah menjanjikan ganjaran yg berlipat ganda bagi org yg melakukan kebaikan n niat ikhlas kepada Allah dalam sesuatu perkara atau perbuatan yg baik..tp padah jika sebaliknya..

Sekian..wassalam..

Sumber: Persatuan Mahasiswa Kelantan

Thursday, May 27, 2010

Lingkaran Cahaya Aneh



GAMBAR menunjukkan lingkaran cahaya aneh yang dirakamkan sebuah kamera milik Steven Murray.


Cahaya aneh dilaporkan muncul di barat Kanada menyebabkan beberapa pakar menyatakan ia adalah penemuan objek terbang yang tidak dikenali (UFO), lapor sebuah akhbar.

Cahaya berbentuk bebola itu turut membentuk lingkaran sebelum bersinar dengan terang dan hilang secara tiba-tiba.

Fenomena tersebut yang dirakamkan baru-baru ini oleh seorang lelaki, Steven Murray telah disiarkan oleh sebuah akhbar pada Isnin lepas manakala klip videonya boleh ditonton di laman perkongsian video, YouTube.

"Saya memasang empat kamera untuk merakamkan imej tahi bintang. Kamera nombor tiga yang merakamkan fenomena ini," kata Murray.

"Saya melihatnya dari pejabat saya semasa sedang bekerja. Objek itu berada di skrin monitor. Apabila saya bergegas keluar, objek tersebut sudah hilang tetapi sejurus kemudian saya mendengar bunyi dentuman yang amat kuat," tambahnya.

Lingkaran cahaya itu menyerupai lingkaran cahaya di langit Norway pada 9 Disember tahun lalu yang pada awalnya disangka sebagai UFO tetapi ia kemudian dianggap berpunca daripada satu ujian peluru berpandu Rusia yang menemui kegagalan.

Ramai pembaca bagaimanapun, sangsi dengan peristiwa ganjil itu dan tidak kurang yang menyatakan ia adalah palsu dan dibuat dengan menggunakan teknik pengimejan penjanaan komputer. 

Sumber: Agensi

Wednesday, May 26, 2010

Jambatan Beralun


BENTUK binaan jambatan baru di Volgograd, Rusia.GAMBAR KECIL PERMUKAAN jalan yang kelihatan beralun di jambatan baru di Volgograd, Rusia.


Sebuah jambatan baru di sini sepanjang 7.2 kilometer bernilai AS$393.98 juta (RM1.3 bilion) yang dibuka lapan bulan lalu ditutup pada minggu lalu kerana permukaan jalannya beralun setiap kali angin kencang, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut beberapa laporan, permukaan jalan di atas jambatan itu akan beralun sehingga setinggi 0.91 meter apabila angin kencang bertiup di kawasan tersebut.

Seorang pemandu kereta berkata: "Kereta saya melantun seperti bola. Saya pada mulanya menganggap terdapat sesuatu yang tidak kena dengan suspensi kereta saya."

Menurut seorang lagi pemandu, Andrey Bystrov, dia pada mulanya menganggap tersilap jalan semasa keretanya melantun di atas jambatan itu.

"Saya turut terfikir mungkin ada sesuatu yang berlaku pada suspensi kereta saya.

"Saya kemudiannya melihat kenderaan lain dan mendapati kereta mereka berayun-ayun," katanya. 

Seorang pakar, Vladimir Parshin berkata, angin mungkin punca jambatan galang itu beralun.

Imej beralun itu boleh dilihat di laman web YouTube di Internet. 

Sumber: Agensi

Tuesday, May 25, 2010

Ibu Mahu Bela Kematian Anak Ditembak Polis


SAPIAH (kiri) menunjukkan gambar Mohd. Afham yang mati ditembak polis pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


Seorang wanita memohon kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes mengenai anaknya yang mati ditembak polis dalam satu kejadian pada 20 Oktober tahun lalu.

Sapiah Md. Elah, 52, berkata, sehingga kini, punca anak lelakinya, Mohd. Afham Arin, 18, ditembak masih menjadi misteri ekoran dia dan keluarganya tidak diberi penjelasan sebenar mengenai kejadian itu sehingga kini.

Menurut Sapiah, dia difahamkan, anak keenam daripada tujuh beradik itu diperlakukan sedemikian selepas dikatakan terlibat dengan jenayah ragut dan disyaki menyerang polis menggunakan parang sebelum mati ditembak.

"Kami tidak berpuas hati kerana selepas tujuh bulan kes itu berlaku polis masih belum memberikan laporan kejadian tersebut.

"Kejadian itu juga mengakibatkan anak saya tidak dapat menamatkan pengajian dalam bidang latihan industri di Kolej Komuniti Ledang. Setahu saya, Mohd. Afham seorang anak yang pendiam dan baik," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Berdasarkan laporan akhbar, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam di Taman Johor Jaya itu, mangsa yang menunggang sebuah motosikal bersama rakannya, Mohd. Firdaus Marsani, 19, telah dikejar sejauh 15 kilometer kerana disyaki melakukan ragut.

Sejurus polis menghampiri suspek, pembonceng dikatakan bertindak melibaskan parang ke arah anggota terbabit sebelum dia mati ditembak di dada manakala rakannya dapat melarikan diri.

Sunday, May 23, 2010

Nahas Terburuk


PASUKAN penyelamat dengan dibantu penduduk kampung bertungkus-lumus mencari beberapa mangsa pesawat Air India Express dari Dubai yang terhempas sejurus terbabas ketika cuba mendarat di Mangalore dekat Bangalore semalam..


Sekurang-kurangnya 158 orang dikhuatiri terbunuh apabila sebuah pesawat Boeing 737-800 milik syarikat penerbangan tambang murah Air India Express terhempas dekat bandar raya Mangalore di negeri Karnataka semalam.

Nahas terburuk di India dalam tempoh sedekad itu berlaku apabila pesawat yang membawa 160 orang penumpang dan enam anak kapal terbabas di hujung landasan ketika mendarat di sebuah lapangan terbang di selatan negara tersebut.

"Setakat ini, hanya lapan orang disahkan terselamat dan mereka telah dihantar untuk menerima rawatan di beberapa buah hospital di sini," kata pengarah personel Air India, Anup Shrivasta pada sidang akhbar di Mumbai dekat sini.

Ia merupakan kemalangan udara kedua terbesar di India sejak tahun 1996 apabila pesawat Kazakhstan Airlines bertembung di udara dengan Saudi Airlines dekat ibu negara New Delhi yang mengorbankan semua 349 orang penumpang dan anak kapal.

Pengerusi Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India, V.P. Agrawal berkata, tiada panggilan kecemasan diterima daripada Kapten Z. Glusica, seorang rakyat Britain berasal dari Serbia yang menjadi juruterbang Air India sejak dua tahun lalu.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh di New Delhi mengumumkan kerajaan akan menghulurkan bantuan kewangan segera sebanyak 200,000 rupees (RM14,150) untuk setiap keluarga mangsa yang terbunuh dalam insiden itu.

Beliau yang terkejut dengan nahas tersebut turut mengucapkan takziah kepada semua waris mangsa serta menangguhkan beberapa program rasmi parti dan kerajaan yang dijadualkan diadakan semalam sebagai tanda berkabung.

Menteri Penerbangan, Praful Patel berkata, pesawat dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu itu dinaiki 147 penumpang dewasa, sembilan kanak-kanak dan empat bayi namun pihaknya belum lagi mengenal pasti kerakyatan mereka. 

Sumber: Agensi

Saturday, May 22, 2010

"Wanita" Tanggung Dosa Besar

CANTIK mengalahkan wanita! Dengan wajah, ketinggian serta ukuran badan persis wanita, 'pesona' itu mampu membuatkan hati lelaki terpaut kepada mereka.
PERBUATAN YANG DILAKNAT...haram bagi lelaki menyeruapi perempuan melalui pakaian, gaya dan tingkah lakunya.
PERBUATAN YANG DILAKNAT...haram bagi lelaki menyeruapi perempuan melalui pakaian, gaya dan tingkah lakunya.
KELIRU...kesan perbuatan menukar jantina menyebabkan aktiviti pelacuran terus berleluasa.
KELIRU...kesan perbuatan menukar jantina menyebabkan aktiviti pelacuran terus berleluasa. 
 
Namun, di sebalik semua itu, ia adalah hasil pembedahan alat kelamin dan beberapa organ lain yang dilakukan demi memuaskan hati untuk bertukar menjadi wanita.

Kisah lelaki bertukar jantina banyak menghias dada akhbar tempatan akhir-akhir ini sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat apakah ia fenomena akhir zaman?

Walaupun pelbagai risiko, kesakitan dan bahaya di hadapan, mereka seolah-olah nekad dan tidak gerun membuat keputusan melakukan pembedahan menukar alat kelamin

Sebaliknya, 'wanita' terbabit mengaku gembira dan puas dengan keadaan dirinya yang berubah sepenuhnya menjadi wanita selepas pembedahan membuang alat kelamin.

Jangan terkejut kos untuk melakukan pembedahan membuang 'anu' menelan belanja puluhan ribu ringgit, antaranya RM15,000 menukar alat sulit, punggung (RM12,000), gigi (RM10,000) dan membentuk payudara RM5,000.

Selepas melakukan pembedahan, mereka menggoda golongan sejenis sehingga sanggup melakukan hubungan seks terlarang.

Pembedahan kepada alat sulit kelamin itu membolehkan mereka merasai nikmat sebagai seorang wanita sehingga tidak memikirkan langsung mengenai dosa.

Apa yang menghairankan, setiap kali perkara berkenaan diselidiki, hujah mereka tetap sama iaitu tidak mampu membendung perasaan dan naluri yang lebih menjurus kepada wanita.

Melihat fenomena yang kian membimbangkan ini, apatah lagi banyak kes berlaku membabitkan umat Islam, apakah masyarakat dan golongan agama harus terus membisu?

Dari sudut hukum dalam Islam, cukup jelas perbuatan itu haram. Tidak kiralah sama ada lelaki mahu menukar jantina kepada perempuan atau sebaliknya.

Ulama bersepakat mengatakan haram juga bagi lelaki menyerupai perempuan melalui cara berpakaian, gaya dan tingkah laku.

Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa (maksudnya): "Rasulullah melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau berlagak seperti wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau berlagak seperti lelaki." (Riwayat al-Bukhari).

Itu belum lagi hal yang lain seperti masalah perkahwinan, mengerjakan haji atau umrah, bersembahyang serta pengebumian.

Selain itu, mereka berdepan kemungkinan mendapat penyakit tertentu kesan daripada pembedahan. Jadi, keseronokan mereka itu sebenarnya hanya sementara.

Hadis lain, daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata (maksudnya): "Rasulullah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki". (Riwayat Abu Daud dengan sanad sahih).

Sudah jelas hukum haram terbabit yang mana melarang lelaki menyerupai wanita atau sebaliknya. Apabila sesuatu larangan dalam nas itu disertai dengan laknat, maka hukumnya berdosa besar dan fasik sehinggalah seseorang itu bertaubat nasuha.

Perbuatan menyerupai pun dikira berdosa besar apatah lagi perbuatan mengubah anggota lelaki menjadi anggota wanita, bermakna dosanya amat berat sekali.

Menukar jantina termasuk dalam kategori dosa besar iaitu cuba mengubah ciptaan Allah atas dasar tidak puas hati dengan takdir Allah.

Alasan naluri mahu jadi perempuan tidak boleh diterima bagi mengharuskan perbuatan terkutuk itu. Jika naluri yang kononnya dijadikan hujah kuat untuk mereka melakukan semua itu bagaimana pula perkara mungkar lain seperti merogol, mencuri atau mengambil dadah?

Malah, dosa kian bertambah apabila dalam masa sama mereka mengambil kesempatan menjadikan lelaki sebagai teman sosial atau merelakan hubungan seks berlaku.

Pokok pangkalnya, setiap perbuatan yang ditegah dan dilarang Allah pasti ada sebabnya dan tetap dikira berdosa. Tiada satu alasan pun boleh diterima untuk mengharuskan atau membenarkan ia berlaku.

Menyesali rupa bentuk atau keadaan sedia ada adalah perkara yang tidak patut kita semaikan dalam diri. Tujuan kita hidup adalah untuk mengambil hikmah dari setiap kejadian yang alami.

Sebagai Muslim yang beriman, menjadi kewajipan mereka menjaga tubuh badan dengan sempurna selain dilarang sama sekali mengubah suai serta menghiasinya dengan tujuan yang diharamkan syarak.

Perbuatan mengubahsuai ciptaan Allah datangnya daripada syaitan yang sentiasa menghasut manusia. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya aku akan sesatkan mereka dan ku perdayakan mereka dengan angan-angannya serta ku suruh mereka memotong telinga ternak (untuk berhala) dan ku suruh mereka supaya mengubah makhluk Allah. Dan barang siapa mengambil syaitan menjadi wali, selain Allah sesungguhnya dia telah rugi dengan kerugian yang nyata". (Surah an-Nisaa' ayat 119).

Allah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian berbanding dengan makhluk yang lain. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk". (Surah at-Tiin ayat 4).

Walau bagaimanapun, pembedahan untuk mengembalikan atau memulihkan semula kecacatan anggota badan yang tidak berfungsi adalah harus.

Contohnya, pemindahan organ atau anggota badan yang diambil daripada orang yang hidup atau mati seperti jantung, buah pinggang dan mata kepada mereka yang memerlukannya.

Berdasarkan fatwa bekas Mufti Mesir, Sheikh Al-Hasanin Makhluf, bagi menghadiahkan anggota atau organ, ia perlu memenuhi beberapa syarat termasuk memastikan kejayaan pemindahan terbabit yang bukannya berdasarkan sangkaan, berada dalam keadaan darurat, pembedahan dan pemindahan perlu dilaksanakan dengan cermat, teliti, dan berhati-hati serta meminta keizinan terlebih dahulu daripada waris.

Pembedahan plastik bagi tujuan kecantikan juga dilarang kerana ia bertujuan untuk bermegah-megah selain melanggar fitrah dan merosakkan anggota badan.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata golongan yang menukar jantina tidak dapat menerima qada dan qadar Allah.

"Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Naluri ingin menukar jantina ini adalah antara bisikan syaitan dan iblis yang ingin merosakkan mereka.

"Kita perlu bijak memilih mana satu perkara baik dan buruk. Justeru, dalam hal ini mereka perlu membantu diri mereka melawan nafsu serta naluri buruk," katanya.

Beliau berkata, pelbagai masalah akan menimpa terutama berkaitan perkahwinan, ibadah serta pengebumian apabila meninggal dunia kelak.

"Akibat melawan takdir Allah, setiap kebajikan dan amalan mereka lakukan tidak diterima Allah. Contohnya sembahyang, akibat penukaran jantina ini mereka perlu melakukannya mengikut cara wanita.

"Ia bukan saja merosakkan ibadah diri sendiri malah turut merosakkan ibadah orang lain. Begitu juga apabila meninggal dunia, jenazah mereka perlu disemadikan mengikut cara lelaki. Tambah menyeksakan, jenazah terpaksa dibedah semula bagi membuang alat kelamin wanita," katanya.

Katanya, walaupun ada yang mendakwa mereka hidup bahagia, hakikatnya gagal menyembunyikan perasaan bersalah.

"Ketika usia muda, memang semuanya ingin tampil cantik tetapi apabila meningkat tua, naluri hendak cantik itu tiada lagi.

"Ditambah pula pelbagai berpenyakit, pasti mereka akan menyesal," katanya.

Thursday, May 20, 2010

Tentera Malaysia Makan Monyet, B**i?

Cuba lihat gambar dibawah. MAKANAN Tentera Malaysia...

Aiks...kena sembelih jugak ke..?

alahai kesian enkau monyet...





Buang Bulu baru enak.....


Monyet Panggang masak hitam....?



kami dalam latihan abang..


Hmmmm sedap...

Licin ......sampai ketulang


ishhh....kepala b**I pun ada


firman Allah bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kamu yang terang nyata bagi kamu. Ia akan menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) kamu supaya berkata (dusta) terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya). (Surah al-Baqarah, ayat 168-169).

71 Ekor Penyu Gergasi dirampas


SEORANG pegawai mengukur seekor penyu gergasi yang dirampas dari seorang peniaga makanan di Bali semalam.


Polis Indonesia semalam merampas sebanyak 71 ekor penyu hijau gergasi yang diancam kepupusan dari sebuah warung milik seorang peniaga makanan di Bali di sini, kata seorang ketua detektif tempatan, Kolonel Andi Taqdir Rahmantiro.

Pemilik gerai itu ditahan oleh pihak polis semasa sejumlah ekor penyu tersebut dengan berat purata sekitar 200 kilogram dijumpai di dalam rumah gudang miliknya.

Andi Taqdir berkata, pemilik memberitahu polis dia membeli penyu tersebut dengan purata saiz lebih satu meter daripada beberapa nelayan yang menangkap haiwan berkenaan di pesisir pulau Sulawesi.
Daging penyu merupakan hidangan tradisi penduduk beragama Hindu di Bali. 

Sumber: AP

Monday, May 17, 2010

Pelukis kartun sindir Nabi Muhammad berasa takut


LARS VILKS


Seorang pelukis Sweden, Lars Vilks, yang bertanggungjawab melukis gambar Nabi Muhammad SAW bersama badan seekor anjing sehingga menaikkan kemarahan orang Islam menyatakan dia berasa tidak selamat semasa berada di rumahnya pada waktu malam.

Dia membuat kenyataan itu semalam seminggu selepas diserang oleh seorang lelaki semasa dia sedang menyampaikan syarahan di sebuah universiti di negara berkenaan.

Vilks berkata, dia mula tidur di kawasan lain selepas terdapat satu percubaan untuk membakar rumahnya pada Jumaat lalu di Nyhamslage, selatan Sweden.

Pada minggu lalu, laman webnya turut digodam oleh penggodam.

Vilks berkata, dia memutuskan untuk tidur di tempat lain sebagai langkah berjaga-jaga mengenai keselamatannya. 

“Semasa waktu siang, saya tidak fikir berlaku situasi berbahaya kerana saya boleh menjaga diri saya sendiri,” kata Vilks. 

Sumber: AP

Thursday, May 13, 2010

Kanak-kanak 8 Tahun Terselamat


ANGGOTA-ANGGOTA pasukan penyelamat melakukan gerakan mencari mayat mangsa nahas pesawat di Tripoli semalam.


Seorang kanak-kanak lelaki dari Belanda berusia lapan tahun merupakan satu-satunya penumpang yang terselamat apabila pesawat Airbus milik syarikat Afriqiyah Airways terhempas semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli dengan menyebabkan 96 orang terbunuh semalam. 

Mengulas mengenai budak lelaki itu yang kini dirawat di sebuah hospital, Menteri Pengangkutan Libya, Ali Zaidan berkata: "Nyawanya tidak berada dalam keadaan bahaya."

Gambar yang disiarkan oleh stesen televisyen menunjukkan budak itu masih sedar dan bernafas dengan alat bantuan pernafasan.

Budak itu dilaporkan menjalani pembedahan ekoran tulangnya yang patah.

SEORANG budak lapan tahun yang terselamat dalam nahas pesawat dirawat di sebuah hospital di Tripoli semalam.


Pesawat A330-200 yang berlepas dari Johannesburg, Afrika Selatan itu membawa 105 penumpang dengan 11 krew. 

Ia dalam perjalanan ke Brussels, Belgium sebelum berhenti seketika di Libya untuk mengisi minyak pada pukul enam pagi waktu tempatan. 

Stesen televisyen Libya menunjukkan sebuah kawasan lapang yang dipenuhi dengan serpihan pesawat manakala pasukan polis dan penyelamat yang memakai topeng keselamatan membawa mayat-mayat keluar dari lokasi kejadian. 

Pemerintah Libya menolak punca nahas disebabkan perbuatan pengganas. 

Sumber: Agensi

Friday, May 7, 2010

Belgium negara pertama haramkan burqa

AKTIVIS hak asasi manusia, Sara Bokker sebelum ini mempunyai pandangan negatif terhadap agama Islam. Wanita yang berasal dari Selatan Dakota, Amerika Syarikat (AS) itu beranggapan Islam sebuah agama yang menafikan hak wanita, membenarkan poligami dan cenderung kepada keganasan.


Bagaimanapun, peristiwa serangan 11 September 2001 di Washington dan New York telah membuka matanya berhubung prejudis dan sikap berat sebelah Barat terhadap Islam. Selepas itu, dia mula mempelajari agama itu dengan lebih mendalam.

Pada usia 29 tahun, Sara akhirnya memeluk Islam dan sejak itu penampilan dirinya berubah seperti seorang Muslimah. Malah, dia turut memakai niqab (purdah) atas alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan yang terbaik demi agamanya. 

Sayangnya penampilan itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia. 

Mereka mengatakan pakaiannya itu merupakan satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita. Lebih menyedihkan ia dikatakan sebagai petanda kemunduran dan ketinggalan zaman.

Dilema yang dihadapi oleh Sara sebenarnya turut dirasai oleh sebilangan besar wanita Islam yang menetap di negara-negara Barat.

BELGIUM menjadi negara pertama Eropah yang mengharamkan pemakaian burqa di tempat awam.


Di Belgium, majoriti Ahli Parlimen negara itu menyokong rang undang-undang yang melarang pemakaian burqa di tempat awam. Sebaik sahaja dikuatkuasakan kelak, ia bakal menjadi negara Eropah pertama yang menguatkuasakan undang-undang sedemikian.

Perancis

Senario yang sama turut dilihat di Perancis. Selepas melarang penggunaan sebarang simbol keagamaan seperti pemakaian tudung oleh wanita Islam pada 2004, negara itu kini cuba mengharamkan burqa pula. 

Kerajaan negara itu sedang menyusun draf perundangan untuk mengharamkan pemakaiannya selepas satu laporan Parlimen mencadangkan pengharaman memakai burqa di sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan di dalam pengangkutan awam.

Presidennya, Nicolas Sarkozy, sebelum ini menyatakan, burqa tidak dialu-alukan dalam pemerintahan sekular Perancis dan beliau menyokong undang-undang yang mengharamkannya.

"Ia bertentangan dengan harga diri wanita, jadi kita perlu mengharamkannya," katanya pada satu perbahasan ahli politik kerajaan dan pembangkang.

KEBANYAKAN wanita yang memakai burqa di Belgium berketurunan Arab.


Ketika ini, dianggarkan kira-kira 1,900 wanita daripada keseluruhan lima juta umat Islam di negara Perancis memakai burqa namun kebanyakannya memakai niqab.

Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, pihak yang menyokong larangan terhadap pakaian itu sebenarnya belum dapat membuktikan bahawa wanita yang memakai burqa merupakan golongan yang lebih tertindas berbanding orang lain.

Beliau berkata, pemakaian tudung juga tidak melemahkan demokrasi atau nilai moral umum.

"Melarang burqa dan niqab dipakai tidak membebaskan wanita tertindas tetapi mungkin menyebabkan mereka semakin terasing daripada kehidupan masyarakat Eropah.

"Larangan umum terhadap pemakaian seperti itu juga akan dianggap pencabulan hak individu yang tidak wajar," katanya yang bimbang tindakan itu akan menimbulkan kontroversi di kalangan kelompok-kelompok Islam terutamanya daripada puak fanatik.

Chandra berkata, sentimen anti-Islam dilihat semakin meningkat berikutan pelbagai kontroversi yang berlaku di Eropah sejak akhir-akhir ini.

Di Warsaw, ibu negara Poland, terdapat demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di pinggir kota itu manakala di Switzerland, rakyatnya disaran mengundi mengharamkan pembinaan menara masjid.

"Tindakan yang dilakukan menunjukkan kebencian dan penghinaan berterusan kuasa besar terutama Barat ke atas umat Islam.

"Sebelum ini merekalah yang paling lantang menuding jari dan menyelar negara-negara lain kononnya gagal melaksanakan hak asasi manusia, namun kini sikap yang ditunjukkan adalah sebaliknya," kata Chandra.

Beliau menjelaskan, sentimen anti-Islam masih menebal di Barat khususnya selepas Perang Salib yang berlaku antara kurun ke-11 sehingga ke-13.

Katanya, Perang Balkan di Bosnia sekitar tahun 90-an membuktikan usaha untuk menyingkirkan umat Islam di Eropah masih wujud sehingga kini.

"Faktor itu ditambah dengan kebanjiran ramai penganut Islam khususnya dari rantau Arab dan Afrika Utara, Bangladesh serta Pakistan ke Eropah sejak beberapa dekad lalu yang kini dilihat mula menguasai ekonomi mereka.

"Penonjolan identiti Islam di sana dianggap sebagai satu ancaman apatah lagi bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian," jelasnya.

Sewaktu pemerintahan Taliban di Afghanistan pada pertengahan tahun 90-an dahulu, kaum wanita di negara itu diwajibkan memakai burqa setiap kali keluar rumah. Mereka yang ingkar bakal berdepan tindakan tegas.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Fatimah Daud menyifatkan apa yang berlaku merupakan satu bentuk diskriminasi moden.



Menurutnya, berdasarkan teori hubungan etnik, diskriminasi oleh segelintir masyarakat kulit putih di Barat telah lama wujud. 

Ia bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam malah turut melibatkan kaum lain seperti Afrika dan Asia termasuk bangsa Eropah yang berasal dari negara-negara bekas komunis.

"Dasar Aparteid di Afrika Selatan merupakan satu cara ortodoks yang menunjukkan kebencian secara terang-terangan melalui perbezaan warna kulit sehingga sanggup membunuh.

Keselamatan

"Bagaimanapun, perkembangan zaman menyebabkan kaedah seperti itu tidak lagi sesuai digunakan, lalu golongan itu beralih pula kepada diskriminasi moden yang dilakukan secara halus, misalnya menguatkuasakan peraturan yang ketat dan cukai yang tinggi ke atas orang luar yang ingin menetap di negara itu," katanya.

Fatimah menjelaskan, bangsa Eropah secara amnya tidak suka bercampur antara satu sama lain. Rakyat di Perancis dan Britain misalnya tidak begitu rapat walaupun mereka berjiran dan mempunyai warna kulit yang sama.

Katanya, kehadiran ramai warga asing termasuk dari negara-negara Islam menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk dan pemerintah tempatan kerana mereka dianggap cuba merampas hak keistimewaan dan ekonomi mereka.

Fatimah berkata, teori hubungan etnik juga menyifatkan apa yang berlaku ke atas umat Islam di Eropah kini merupakan satu proses kesamaran etnik.

TIADA bukti yang menunjukkan wanita yang memakai burqa merupakan golongan tertindas seperti yang didakwa media Barat.


Jelasnya, mengikut teori itu, sempadan yang mendasari setiap etnik perlu dihapuskan, warga asing yang tinggal di negara mereka perlu menyerap budaya tempatan dan tidak menonjolkan budaya masing-masing melalui pakaian, cara hidup, keagamaan dan sebagainya.

"Pemakaian burqa dan niqab dan pembinaan menara masjid dilihat menonjolkan imej Islam di Eropah, lebih-lebih lagi jumlah umat Islam semakin meningkat di sana.

"Melalui undang-undang dan sekatan yang dilakukan, ia akan menghakis imej tersebut dan mengurangkan sempadan etnik. Mereka mahu semua rakyat di negara itu mengamalkan cara hidup Barat," katanya.

Perdebatan tentang pengharaman pemakaian burqa itu turut mendapat reaksi daripada Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.

"Jika ia semata-mata atas alasan keselamatan, kebimbangan itu keterlaluan. Adalah tidak adil untuk mengatakan semua wanita memakai pakaian itu menimbulkan ancaman," katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, menyifatkan Perancis mencabul hak Muslim apabila tidak membenarkan penganutnya menunaikan tanggungjawab agama termasuk memakai hijab.

Bagi ahli perundangan Syria, Mohammed Habash yang mengetuai Pusat Kajian Islam negara itu, langkah Perancis dan Belgium hanya akan meningkatkan kebencian terhadap Islam.

"Tidak ramai wanita di Perancis memakai niqab. Pakaian itu tidak memberi ancaman keselamatan atau budaya. Langkah seperti ini tidak membantu merapatkan hubungan negara Islam dan Barat," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Fiqh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr. Datuk Mahmood Zuhdi berkata, di dalam al-Quran menyatakan wanita hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka.

WANITA Islam hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka. Burqa dianggap pakaian pilihan.


"Islam tidak melihat pemakaian niqab atau burqa sebagai sesuatu yang wajib kepada seseorang wanita kecuali ia menimbulkan pelbagai fitnah kepada dirinya malah sehingga kini masih wujud pertindihan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum pemakaiannya," katanya.

Ujarnya, dalam konteks masyarakat Islam di Eropah yang dianggap golongan minoriti, pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang berkenaan.

"Adakalanya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam itu sendiri, kita perlu lebih bersederhana dan bertoleransi dan tidak melakukan sesuatu tindakan yang boleh keadaan dan keharmonian yang dicapai.

"Bagaimanapun tindakan itu agak keterlaluan seperti mengharamkan penggunaan masjid, melarang umat Islam berjemaah atau menyekat kebebasan beragama, maka ia wajar ditentang," jelasnya.